Biden janji bantu mangsa kebakaran hutan di Hawaii


Kebakaran hutan berlaku pada 8 Ogos di beberapa kawasan di Maui dan pulau berhampiran Hawaii. Pekan kecil Lahaina di Maui yang mempunyai 13,000 penduduk turut terjejas. – Gambar AFP, 16 Ogos, 2023.

PRESIDEN AS Joe Biden semalam berkata beliau akan berlepas ke Hawaii tidak lama lagi susulan tragedi kebakaran hutan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 99 nyawa, lapor agensi berita Jerman (dpa).

“Isteri saya, Jill dan saya akan pergi ke Hawaii secepat mungkin,” kata Biden semasa berucap di Milwaukee, Wisconsin.

Dalam pada itu Biden berkata beliau mahu memastikan bahawa penduduk Maui mendapat sokongan yang diperlukan.

“Semua yang mereka perlukan, mereka akan dapat,” janji presiden itu.

Presiden AS itu juga berkata beliau menghubungi Gabenor Hawaii Josh Green semalam untuk membincangkan pemulihan Hawaii selepas tragedy kebakaran hutan itu.

“Saya meyakinkan gabenor bahawa Hawaii akan terus menerima bantuan yang diperlukan daripada kerajaan persekutuan,” kata Biden dalam catatan di media sosial.

Kebakaran hutan berlaku pada 8 Ogos di beberapa kawasan di Maui dan pulau berhampiran Hawaii.

Pekan kecil Lahaina di Maui yang mempunyai 13,000 penduduk turut terjejas.

Sehingga pagi semalam jumlah kematian yang disahkan adalah 99 dan hanya empat mangsa dikenal pasti setakat ini, menurut polis Maui. – Bernama, 16 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen