Apa yang dilihat dalam PRN kali ini?


Fakhrurrazi Rashid

Keputusan PRN pada 12 Ogos menonjolkan kegelisahan orang Melayu kian meningkat dan belum reda terhadap kerajaan persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos 2023.

PILIHAN Raya Negeri ke-15 (PRN15) kali ini tidak begitu menarik. Masing-masing bertahan di kubu kuat sendiri. Selangor bersaing sengit, tapi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu membentuk kerajaan negeri. Perikatan Nasional (PN) pula mendapat tapak di Negeri Sembilan.

Hakikatnya, PRN15 adalah pilihan raya orang Melayu. PAS mendominasi Terengganu, Kedah, dan Kelantan yang populasinya 90% Melayu. Pola pengundian di tiga negeri PH dan BN menyaksikan kerusi majoriti Melayu mula dikuasai PN. Dalam erti kata lain, keputusan 12 Ogos menonjolkan kegelisahan orang Melayu kian meningkat dan belum reda terhadap kerajaan persekutuan.

Ahli politik pula hairan, beribu-ribu ringgit bantuan diberikan, tapi mengapa masih tak dapat undi orang Melayu? Apakah bantuan dan ekonomi tidak cukup untuk memancing undi Melayu?

Kebimbangan orang Melayu ini bukan perkara baharu. Perubahan kerajaan pusat pada tahun 2018 telah mengubah struktur politik Melayu dan merobohkan kebergantungan orang Melayu kepada kerajaan. Apabila kebergantungan ini makin kendur, maka orang Melayu bertindak lebih agresif terhadap kerajaan.  

Runtuhnya struktur ini menyebabkan orang Melayu rasa tidak ada haluan, mudah emosi dan dimanipulasikan pihak tertentu untuk rasa terancam yang menyebabkan kurangnya pertimbangan mereka terhadap perkara rasional.

Rasa terancam ini buat mereka jauh dan cenderung menolak kerajaan sedia ada. Buktinya, PN berjaya meraih undi yang signifikan dalam PRN ketika menjadi pembangkang di Persekutuan. Orang Melayu tidak peduli akan naratif undi parti kerajaan hari ini akan untung seperti dulu. Malah, pengundi Melayu boleh bergerak secara kendiri untuk membuat keputusan.

PRU 1990 refleksi sebenar

Meskipun isu ekonomi menjadi kebimbangan orang Melayu dalam setiap tinjauan, namun tawaran ekonomi parti politik bukan lagi tarikan utama. Akses ekonomi orang Melayu kian bertambah. Sebahagian besar menerima mempunyai dua pekerjaan untuk menampung hidup meskipun upahnya rendah. Ada menjadi pempengaruh yang mendapat pendapatan lebih lumayan.

Orang Melayu luar bandar juga selesa dengan ada tanah dan rumah. Ustaz di luar bandar hidup selesa dengan adanya institusi agama seperti tahfiz swasta yang menerima bayaran beribu-ribu ringgit daripada orang Melayu T20 yang menghantar anaknya mempelajari agama. Malah, fasiliti sekolah tahfiz lebih baik berbanding sekolah harian.  

Susah sekalipun, orang Melayu tersemat dengan minda pengorbanan dan tidak suka digelar miskin. Sikap berdikari ini memudahkan sebahagian orang Melayu menolak kerajaan kerana mereka mampu untuk meneruskan kehidupan.

Trend ini pernah terjadi dalam Pilihan Raya Umum ke-18 (PRU8) pada 1990. Waktu itu, pergeseran kepimpinan Umno antara Team A (Dr Mahathir Mohamad) dan Team B (Tengku Razaleigh Hamzah, lebih popular Ku Li) berlaku pada lewat 80-an. Team B menubuhkan Semangat 46 dan bergabung dengan PAS membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bagi melawan Umno Baharu. Kekuatan asas APU adalah di Pantai Timur, khususnya Kelantan, atas faktor pengaruh Ku Li dan PAS.  

Untuk memberi konteks sebenar, kehidupan orang Melayu agak stabil ketika itu. Dasar Ekonomi Baru pada 1970 menyediakan kuota khas untuk orang Melayu terlibat dalam industri dan perdagangan dengan sokongan pinjaman perniagaan yang lumayan demi mencapai sasaran 30% pegangan ekuiti Bumiputera.

Di kawasan luar bandar, kerajaan terus membantu orang Melayu dengan pelaksanaan pembangunan tanah, infrastruktur, dan program subsidi. Kerajaan BN turut memberi subsidi khas kepada petani dan motobot kepada nelayan di kawasan terpinggir Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu menjelang PRU 1990.

Namun, bantuan-bantuan ini tidak memberi kelebihan kepada kerajaan BN dan Umno. PAS berjaya merampas Kelantan dari tangan BN pada PRU 1990 di sebalik bantuan diberikan kerajaan BN di peringkat pusat dan negeri. Mengapa ini berlaku?

Dr Mahathir menjelaskan kekalahan Umno di Kelantan atas faktor parokial orang Melayu di Pantai Timur yang peduli dengan kawasan tempatan tanpa melihat gambaran besar. Mereka ini tidak peduli dengan politik luar dan menyerahkan isu-isu itu kepada pemimpin.

Pandangan Dr Mahathir ini agak mudah. Hakikatnya, orang Melayu di Pantai Timur mempunyai rasa bangga dengan negeri dan ketahanan yang tinggi kerana terbiasa berdikari dalam soal ekonomi kerana sering terpinggir daripada perancangan pembangunan kerajaan pusat dan negeri.

Elemen agama memainkan peranan penting buat mereka sebagai sebagai jalan selamat mengharungi cabaran hidup. Golongan agamawan ini dijadikan pemimpin dan panduan dalam kehidupan kawasan tempatan. Agamawan jugalah memberi akses pendidikan, ekonomi, dan bantuan yang lebih bermakna berbanding kerajaan persekutuan mahupun negeri di bawah Umno dan BN.

Merangka gagasan besar

Kini, sikap bangga orang Melayu ini telah membesar. Pendekatan media sosial telah mendedahkan lebih banyak kandungan tentang ketuanan Melayu dan pemimpin agama menjadi rujukan buat mereka mengharungi hidup yang mencabar. Perkara ini terlihat jelas dalam pola pengundian Melayu dalam PRN15 yang cenderung memilih PAS dan PN meskipun tiada perancangan ekonomi yang jelas. Soalnya, adakah trend ini akan dinikmati PN dalam tempoh jangka panjang?

PAS dan PN sebenarnya menikmati sokongan undi protes akar umbi Umno kepada presidennya dalam PRU15 dan PRN15. Perkara yang sama berlaku kepada Umno baru pada PRU 1990 apabila sokongan merudum akibat pertembungan dengan Semangat 46.

Wawasan 2020 yang dilancarkan Dr Mahathir pada 1991 adalah tindak balas segera keputusan PRU 1990 untuk menyatakan hala tuju kerajaan yang jelas bagi meraih sokongan semua kaum.

Kemudian, Anwar Ibrahim pula memperkenalkan idea Melayu Baru untuk mencipta golongan pertengahan Melayu yang lebih stabil dari sudut ekonomi dan berfikiran progresif.

Hasilnya, Umno-BN dapat mengekalkan kemenangan pada PRU 1995 dengan majoriti dua pertiga. Manakala Semangat 46 pula dibubarkan pada 1996 apabila Ku Li memasuki Umno Baru bersama ahli yang lain.

PRU 1990 ini memberi refleksi menyeluruh dalam mengatasi dinamik politik yang berlaku hari ini.

Pertama, parti politik yang mempunyai kerangka kebangsaan seperti Wawasan 2020 yang berteraskan Bangsa Malaysia, meliputi kebersamaan orang Melayu dan bukan Melayu, akan terus mentadbir negara dengan kukuh.

Kedua, hubungan kerajaan dan orang Melayu perlukan kerangka baharu. Idea untuk menaik taraf kehidupan orang Melayu menjadi golongan kelas pertengahan atau sering digelar golongan aspirasi perlu dilaksanakan dengan segera. Golongan ini akan mengukuhkan lagi kestabilan politik negara dan boleh menyumbang kepada ekonomi Malaysia.

Mungkin, ini juga masa Umno-BN kembali berfikir untuk menjadi parti kebangsaan yang mendapat sokongan semua kaum dan mampu menang pilihan raya daripada tersepit mencari sokongan majoriti Melayu. Tapi, perkara ini mungkin tidak berlaku kerana Umno-BN sibuk menari rentak PAS dan PN dalam kumpulan Melayu yang telah menolak parti keramat itu. – 16 Ogos 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen