Berdisplinlah, jangan ugut parti kalau tak jadi calon, kata anak reformasi


Nabihah Hamid

Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Selangor Syed Badli Shah Syed Osman percaya kesetiaan kepada parti dalam perjuangan mengatasi segalanya, termasuklah kepentingan diri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Mac, 2018.

TERDEDAH dengan dunia politik sejak berusia 14 tahun, Syed Badli Shah Syed Osman mahu terus setia bersama PKR dan Pakatan Harapan (PH) bagi menukar kerajaan yang menekan rakyat.

Untuk memastikan agenda itu tercapai, anak Kampung Baru ini menasihatkan ahli parti terutamanya anak muda meneruskan perjuangan dan tidak kecewa sekiranya tidak menjadi calon pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14) ini.

“Kalau masih taat pada parti, keputusan letakkan kucing jadi calon pun, kenalah terima. Kerana itulah keputusan dicapai, kerana keputusan yang dicapai ini lekeh-lekeh saja.

“Ia dibahaskan panjang, dan tentu pimpinan ambil kira sudut pandangan. Keputusan yang konkrit perlu dibuat. Yalah dalam politik ini nak puaskan hati semua orang tidak boleh. Dalam kata majoriti, ia mestilah nombor satu.”

Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Selangor berusia 33 tahun ini turut menegaskan disiplin sedemikian amat penting bagi memastikan kemenangan PH.

“Saya tidak melobi kerusi. Saya adalah orang yang sentiasa memperjuangkan organisasi. Dapat bertanding, maksudnya saya akan membawa nama Pakatan Keadilan. Kalau tidak calon, tidak apa saya akan bantu tempat di mana saya boleh bantu.

“Misalnya calon Titiwangsa, diberikan kepada parti sahabat kita parti Bersatu, saya akan bantu di situ kerana itulah yang sepatutnya kita kena dokong organisasi itu. Bukannya jadi orang lain jadi calon, dia tolak dan mengamuk,” katanya yang pernah berkhidmat di ibu Pejabat PKR selama lima tahun itu kepada The Malaysian Insight.

Syed Badli sebelum ini disebut-sebut muka baru yang akan diketengahkan oleh PKR sebagai calon pilihan raya mencabar BN di Titiwangsa yang disandang Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani.

Pengagihan kerusi dalam Pakatan Harapan bagaimanapun memberikan kerusi itu untuk ditandingi oleh Bersatu.

Wan Saiful Wan Jan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) yang menyertai Bersatu awal bulan ini, disebut-sebut antara yang mungkin dicalonkan bertanding di kerusi itu.

PKR Beruas pada 9 Mac lalu mengancam boikot mengundi PH sekiranya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Baharu di Perak diserahkan kepada calon Bersatu pada PRU14.

Pelantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan perlu diterima walaupun pahit kerana ia keputusan kepimpinan tertinggi semua parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mac, 2018.

Perjuang gaji minima, mahu galakkan anak muda celik politik

Syed Badli berkata sekiranya beliau ada dalam tampuk pemerintahan kelak, antara perkara utama mahu diperjuangkan adalah gaji minima.

Turut merasai tekanan kerana kos sara hidup tinggi, anak reformasi ini mahu kerajaan PH lebih tegas menguatkuasakan akta tersebut.

“Kadar gaji minima yang munasabah dengan keadaan yang ada sekarang. Pada saya mungkin boleh ke RM2,000. Perlu ada penyelarasan dari segi arahan kerajaan dalam faktor perundangan. Bahawa swasta mesti ikut.

“Swasta pun tidak berapa hendak takut sebab mereka rasakan tidak akan ada apa-apa (tindakan). Tidak seperti EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) misalnya kalau kuat kuasakan, kalau gagal bayar mereka (majikan) akan dikenakan denda dan sebagainya. Jadi swasta nak tak nak kena bagi,” katanya lagi.

Sementara itu, Syed Badli berpendapat penting bagi memilih parti kerana ia merupakan satu resepi membina pentadbiran yang baik dalam kerajaan.

“Parti yang mencorakkan calon dan ketokohan pemimpin. Anak muda perlu bangkit. Kita perlu mereformasikan sistem pentadbiran negara. dengan menukar kerajaan sedia ada dengan kerajaan lebih telus,” katanya lagi.

Anak reformasi teguh bersama Pakatan Harapan

Mengidolakan pengasas parti Reformasi, beliau melihat Anwar Ibrahim dilihat sebagai tokoh yang memperjuangkan rakyat.

Bagaimanapun, kerana rasa hormat dengan keputusan pucuk pimpinan, keputusan yang mendapat tentangan dalam PKR seperti menjadikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri PH diketepikan.

Parti yang mencorakkan calon dan ketokohan pemimpin. Anak muda perlu bangkit. Kita perlu mereformasikan sistem pentadbiran negara. dengan menukar kerajaan sedia ada dengan kerajaan lebih telus, kata Syed Badli Shah Syed Osman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 29 Mac, 2018.

“Anwar menjadi inspirasi utama saya untuk memperjuangkan kebenaran dan keadilan. Melihat arus kebangkitan rakyat, mengajar saya erti bahawa kerajaan ini sesuatu yang dipilih rakyat dan kerajaan tidak boleh menekan hidup rakyat.

“Kalau isu Tun M diangkat perdana menteri, kalau ikutkan marah sayalah yang paling patut marah kerana antara anak muda ada dalam AMK hari ini tetapi merasai zaman 1998. Sebab rumah saya sendiri pun diubah suai supaya reformis boleh bersembunyi dalam rumah saya.

“Rumah saya di Kampung Baru pernah kena terajang dan pecah FRU. Tanyalah mana-mana reformis yang pernah sembunyi dalam rumah saya. Saya pernah menyatakan bahawa saya tak setuju Dr Mahathir jadi PM, saya sebut dia hanya sesuai jadi penasihat.

“Tapi sampai satu masa apabila pimpinan tetapkan inilah kesimpulannya,” kata bekas pelajar pre-degree Higher National Diploma in Business Information Technology Universiti Of Wales, UKM (UWNM) itu.

Beliau mengulas isu Dr Mahathir menjadi perdana menteri sekiranya PH berjaya menawan Putrajaya pada PRU14 yang dikatakan mendapat tentangan segelintir pihak terutamanya kepimpinan PKR.

Bagaimanapun PH kini sudah mencapai kata sepakat menjadikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri, manakala Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya. – 29 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen