PKR Beruas mengancam boikot mengundi Pakatan Harapan (PH) sekiranya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Baharu di Perak diserahkan kepada calon Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Ketua Cabang PKR Beruas Abul Jais Asfaq Ahmed berkata pihaknya mahu kerusi tersebut dikembalikan memandangkan PKR lebih ada pengaruh dan kekuatan jentera parti di kawasan itu.
“Kerusi tersebut sepatutnya milik PKR. Jentera kami kuat dan sudah tiga tahun buat kerja. Jika mereka (pimpinan PH) tak beri, kami akan pastikan BN menang,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Katanya, rundingan kerusi di peringkat negeri yang terakhir pada 15 Januari 2018 masih mengekalkan DUN Pengkalan Baharu kepada PKR namun segalanya berubah apabila dibawa ke pusat dan dirunding semula.
“Kami telah bekerja bersungguh-sungguh sejak 3 tahun yang lalu. Banyak program yang telah dibuat.
“Bilik gerakan pilihan raya juga dibuka. Jentera parti dan sukarelawan telah dilatih. Puluhan ribu ringgit dibelanjakan. Ramai pimpinan pusat dan negeri datang ke sini melihat sendiri persiapan yang kami lakukan,” katanya lagi.
DUN Pengkalan Baru mempunyai kira-kira 18,000 pengundi di bawah Parlimen Beruas.
Menurut Abul Jais, kira-kira 5,000 ahli PKR yang berdaftar di bawah 20 ranting.
Kawasan tersebut kini diwakili oleh Barisan Nasional (BN) apabila calonnya Abd Manaf Bin Hashim mengalahkan calon PAS Khairuddin Abd Malik dengan majoriti 2500 undi pada PRU yang lepas.
Bagaimanapun, PKR Beruas yakin kemenangan akan berpihak kepadanya kerana telah lama bertapak.
Difahamkan satu sidang media protes 3 petang ini akan diadakan PKR di Beruas bagi mengatakan ketidakpuasan hati mereka.
Di Perak terdapat 59 kerusi DUN dan Bersatu dipertanggungjawabkan memimpin kempen PH di bawah pengerusinya, Ahmad Faizal Azumu.
Faizal mengakui akan kerja keras yang telah dilakukan oleh PKR Beruas di Pengkalan Baharu, dan dalam masa sama beliau akan terangkan perkara ini kepada cabangnya.
“Ya, mereka telah bekerja keras. Tetapi dalam rundingan kerusi, tak semua parti akan dapat kerusi yang mereka nak. Parti lain juga terpaksa mengalah, (terpaksa) beri kerusi yang sebelum ini mereka jaga.
“Macam Tun Dr Mahathir (Mohamad) cakap sebelum ini, bukan semua orang boleh puas hati,” katanya merujuk kepada pengerusi PH.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, DAP akan bertanding 18 kerusi, Bersatu 15, PKR 14 dan Amanah 12.
Pada masa ini, DAP mempunyai 18 wakil di DUN Perak, PKR 5, Amanah 1 sementara PAS, yang berpisah daripada pakatan pembangkang itu hampir tiga tahun lalu, mempunyai 4 kerusi. BN menguasai DUN dengan 31 kerusi. – 9 Mac, 2018.
Komen