Keselamatan Sanusi, calon lain PRN terjamin, kata KPN


Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mempunyai pengawal keselamatan sendiri iaitu seorang anggota polis yang bertanggungjawab menjaga keselamatan pemimpin itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos 2023.

KETUA Polis Negara Razarudin Husain berkata keselamatan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan calon lain yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini adalah terjamin. 

Beliau berkata ini kerana Sanusi mempunyai pengawal keselamatan sendiri iaitu seorang anggota polis yang bertanggungjawab menjaga keselamatan pemimpin itu.

Razarudin berkata justeru keselamatan calon yang bertanding bagi mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu sepanjang kempen pilihan raya ini adalah terjamin.

“Insya-Allah, kalau ada ancaman (kepada Sanusi), anggota ini akan memaklumkan kepada Ketua Polis Kedah (Fisol Salleh). 

“Pada masa sama, sekiranya ada mana-mana calon berasa tidak selamat semasa berkempen sila buat laporan dan kami akan siasat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata berdasarkan maklumat dan pemantauan Polis Diraja Malaysia di lapangan tiada sebarang ancaman terhadap calon yang bertanding pada PRN kali ini. – Bernama, 7 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen