PILIHAN Raya Negeri (PRN) di enam negeri telah menarik 41 calon Bebas.
Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor mempunyai bilangan calon Bebas tertinggi dengan masing-masing 10 diikuti Kelantan dan Pulau Pinang lima calon.
Terengganu mempunyai seorang calon bebas iaitu Che Harun Kamariah Abdullah yang bertanding di kerusi DUN Hulu Besut.
Pemerhati politik Dr Mazlan Ali berkata walaupun bilangan calon bebas adalah tinggi, peluang mereka untuk menang di PRN adalah mustahil.
Katanya pengundi cenderung memilih calon yang mempunyai latar belakang parti politik kuat.
“Mereka (Bebas) tidak akan menang dan akan kehilangan deposit. Sukar untuk calon bebas menang kerana pengundi lebih suka mengundi seseorang yang mempunyai logo parti yang kukuh.
“Bahkan parti seperti Pejuang tidak boleh melawan Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.
“Tetapi sebagai sebahagian daripada demokrasi, mereka (Bebas) dialu-alukan,” kata Mazlan kepada The Malaysian Insight.
Katanya, pengundi di Sabah dan Sarawak lebih memihak kepada calon bebas.
“Anda boleh lihat calon bebas menang di Malaysia Timur contohnya di Sabah pada pilihan raya lalu, dua calon masing-masing menang di Tenom dan Kudat.
“Walaupun kemudian mereka menyertai parti politik, mereka memenangi kerusi sebagai calon bebas. Di semenanjung ambil P Prabakaran sebagai contoh, beliau seorang bebas tetapi kemudian PKR menyokongnya sebagai calon mereka selepas Tian Chua tidak dapat bertanding sebagai calon,” katanya merujuk kepada Ahli Parlimen Batu Prabakaran yang memenangi kerusi itu sebagai calon bebas pada 2018.
Mazlan berkata, pengundi mahukan calon yang boleh membuat perubahan dan bukannya seorang yang tidak mempunyai kuasa untuk melakukan perubahan.
“Mereka akan berkata tiada gunanya saya mengundi calon bebas jika dia tidak boleh membawa perubahan. Pengundi mahukan parti yang boleh membentuk kerajaan dan oleh itu sukar untuk bebas menang,” katanya. – 1 Ogos, 2023
Berita penuh di sini.
Komen