Guna logo traktor, kontraktor sekali lagi cuba nasib di Mersing


Ismail (dua,kanan) bersama calon-calon lain bagi merebut kerusi Parlimen Mersing pada PRU15 ini. – Gambar Facebook, 5 November, 2022.

MESKIPUN pernah tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lepas, seorang kontraktor di Mersing mencuba nasib buat kali kedua pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sanggup mengeluarkan duit sendiri, calon Bebas Ismail Don yang menggunakan logo traktor tidak mahu melepaskan peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen Mersing selepas kalah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau pada PRN lepas.

“Kita mahu menyedarkan masyarakat jika parti-parti lain (dilihat) tidak ada tanggungjawab untuk membela nasib penduduk daerah ini selain pemimpin mereka yang mempunyai pelbagai isu panas sehingga menimbulkan kegusaran, rakyat boleh menyuarakannya kepada (calon) Bebas.

“Oleh itu, saya berharap agar diberi peluang untuk menyelesaikan isu yang membelenggu penduduk  Mersing sekali gus membawa suara ke Parlimen,” kata anak jati daerah itu kepada Bernama selepas proses penamaan calon di Pejabat Daerah Mersing hari ini.

Pada PRN Johor 12 Mac lepas, Ismail, 54 tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Alwiyah Talib yang mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 3,041 undi dalam persaingan lima penjuru.

Antara perkara yang akan diberi perhatian olehnya ialah isu jambatan Mersing yang sering mengalami kesesakan setiap kali musim perayaan dan cuti umum dan jaringan jalan yang selalu rosak hingga dipercayai menyebabkan kemalangan serta isu peneroka.

Ismail akan bersaing dengan empat lagi calon dalam pertandingan lima penjuru melibatkan Abd Latif Bandi (BN),  Muhammad Islahuddin Abas (PN), Nurfatimah Ibrahim (Pejuang) dan Fatin Zulaikha Zaidi (PH).

Pada PRU14, Dr Abdul Latiff Ahmad yang bertanding atas tiket BN memenang dengan  19,806 undi menewaskan dua pencabarnya dari PAS dan PKR.

Bagaimanapun, beliau yang menyandang kerusi Parlimen itu sejak 1999 keluar UMNO pada Disember 2018 dan menyertai Bersatu pada Februari 2019. – Bernama, 5 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen