PIHAK media tidak dihalang untuk melaporkan berita berkaitan tingkah laku bunuh diri namun perlu dilakukan secara berhemah dan lebih sensitif, kata Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) ada menyediakan garis panduan pelaporan berhemah berkenaan tingkah laku bunuh diri antaranya mengelak daripada memaparkan nama dan gambar mangsa serta tidak memperincikan cara bunuh diri.
“Pelaporan bunuh diri…boleh menyebabkan trauma kepada pembaca terutamanya individu yang mengenali si mati dan individu yang berisiko membunuh diri,” katanya ketika merasmikan program Malaysia Suicide Awareness Voice of Hope (MySAVE) di Cyberjaya hari ini.
Program MySAVE merupakan inisiatif yang berbentuk tindakan afirmatif bagi mengukuhkan lagi pelaksanaan aktiviti pencegahan tingkah laku bunuh diri di peringkat kebangsaan.
Antara pengisian program itu ialah pemantauan pelaporan media mengenai tingkah laku bunuh diri, promosi Talian HEAL 15555 dan latihan pencegahan bunuh diri kepada pegawai polis, bomba dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Pada sesi soal jawab, Lukanisman berkata pelaporan berita yang terlalu memperincikan kaedah bunuh diri berpotensi memberikan idea kepada individu yang mengalami masalah mental sekali gus terdedah kepada peniruan cara bunuh diri.
Namun, katanya terdapat ‘sudut positif’ pelaporan berita mengenai tingkah laku bunuh diri seperti mengulas berkenaan simptom kesihatan mental dan maklumat berkaitan kaedah atau platform mendapatkan bantuan.
Mengenai Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental (NCEMH) yang beroperasi sejak Oktober 2022, beliau berkata pusat tersebut menerima 22,074 panggilan menerusi Talian HEAL 15555 setakat 22 Julai lepas.
Beliau berkata 66 peratus atau 14,537 individu menerima bantuan sokongan dan emosi manakala 7,537 individu diberikan intervensi khusus oleh pegawai psikologi kaunseling menerusi pusat itu. – Bernama, 31 Julai, 2023.
Komen