Orang susah jual buah pinggang cerita rekaan Perikatan, kata pemimpin PKR


Kata Chua Wei Kiat, Wan Ahmad Fayhsal sepatutnya tahu penjualan organ salah di sisi undang-undang.v– Gambar Facebook, 7 April, 2023.

PEMIMPIN PN menghina penderma organ kerana menuduh rakyat kini dalam keadaan susah sehingga terpaksa menjual buah pinggang bagi meneruskan kehidupan, kata pemimpin PKR.

Timbalan Ketua Penerangan PKR Chua Wei Kiat berkata dakwaan yang dibangkitan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal itu hanyalah cerita yang sengaja dicipta.

Ia hanyalah kempen parti itu untuk memaksa kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata Chua dalam satu kenyataan.

“Kenyataan tersebut memberi bayangan negatif kepada orang umum tentang tindakan derma organ dan menafsirkannya sebagai satu urus niaga.

“Padahal tindakan tersebut adalah secara sukarela maka PN harus insaf dan mohon maaf secara terbuka kepada pesakit dan penderma organ,” katanya.

Tambahnya Wan Ahmad Fayhsal sepatutnya tahu penjualan organ salah di sisi undang-undang.

“Sekiranya dia masih kekal dengan pendirian itu, saya cabar dia lapor kepada pihak berkuasa, bukan setakat guna kes tersebut untuk pengaruh politik,” katanya.

“Wan Ahmad Fayhsal menghina pesakit dan penderma organ serta sabotaj usaha kerajaan menggalak rakyat daftar sebagai penderma organ,” tambahnya.

Beliau mengulas kenyataan Wan Ahmad Fayhsal pada Isnin lalu yang tidak berpuas hati kerana soalan mengenai pengeluaran caruman itu tidak dijawab menteri di Dewan Rakyat.

Katanya pengeluaran itu diperlukan untuk membantu rakyat yang susah.

“Bahkan sampai ada yang jual buah pinggang ...” katanya dalam kenyataan yang dilapor akhbar dan disebar luas di media sosial.

Dakwaan mengenai jualan buah pinggang pada asalnya dibangkitkan seorang pengguna TikTok yang berhajat berbuat demikian untuk melangsungkan kehidupan.

Pengguna tersebut bagaimanapun kemudian dilaporkan memohon maaf dan tidak jadi menjual organ tersebut bagi melunaskan hutang.

Isu mengenai niat menjual organ itu mendapat perhatian serius Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberi amaran perbuatan seperti itu akan mengundang tindakan undang-undang.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata aktiviti jual beli organ merupakan eksploitasi terhadap golongan tertentu dan bercanggah dengan etika perubatan.

Sekiranya terdapat aktiviti melibatkan pemerdagangan orang untuk tujuan jual beli organ ia perlu disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, katanya. – 7 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen