PRN: Tidak berlaku sebarang perubahan di peringkat pusat, kata Fahmi


Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kestabilan politik di peringkat pusat tidak akan tergugat walau apa jua keputusan PRN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2023.

KESTABILAN politik di peringkat pusat tidak akan tergugat kerana tidak akan ada perubahan yang berlaku di peringkat pusat walau apa jua keputusan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) di Putrajaya hari ini, Fahmi berkata kestabilan politik adalah perkara asas yang membolehkan pelaburan masuk secara langsung untuk membantu pertumbuhan ekonomi.

“Asasnya adalah kestabilan politik. Itulah antara sebab walau apapun yang berlaku dalam PRN ini dan saya pun dapat laporan serba sedikit, PRN bukan Pilihan Raya Umum (PRU) maka tidak akan berlaku sebarang perubahan di peringkat pusat,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak dengan hari pengundian ditetapkan pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos. 

Fahmi meminta penyemak fakta iaitu portal mycheck.my di bawah Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan portal sebenarnya.my di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) diaktifkan secara rancak untuk menangkis fitnah sepanjang tempoh PRN dan selepas itu.

Beliau yang bimbang dengan penyebaran fitnah berkata kedua-dua penyemak fakta itu harus bekerjasama rapat untuk memerangi fitnah secara pantas terutamanya fitnah yang dilemparkan terhadap Kementerian Kewangan (MOF) berkaitan elaun dan duit tambahan.

“Saya minta agar hasil siasatan (kedua-dua penyemak fakta) diuar-uarkan Bernama dan dimainkan dalam Radio Televisyen Malaysia (RTM) supaya rakyat faham sekiranya ada tuduhan dan fitnah terutama tentang dasar kerajaan dapat ditangani segera,” katanya.

Fahmi dalam pada itu menasihatkan penjawat awam agar mengelak daripada berpolitik dalam waktu pejabat.

“Saya tidak akan menjemput anda untuk hadir mana-mana program parti kerana itu hak masing-masing. Cuma berpada-pada dalam mengekspresikan perasaan tentang keputusan atau pilihan,” katanya.

Turut hadir pada majlis perhimpunan yang dihoskan Bernama itu adalah Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin. – Bernama, 31 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen