PEMBERIAN geran berjumlah RM500,000 dibuat kepada anak muda Terengganu dibuat Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bukan satu kesalahan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
Menurut Azam, ikrar dibuat Zahid itu hanyalah inisiatif kerajaan persekutuan.
“Ini adalah sebuah kerajaan pemerintah yang boleh melaksanakan inisiatif yang difikirkan wajar untuk rakyat.
“Pada hemat saya, tiada masalah berhubung isu pemberian geran ini kerana ia merupakan inisiatif kerajaan. Jadi kalau inisiatif peruntukan yang telah diluluskan kerajaan, ia tiada unsur rasuah,” katanya dilapor Sinar Harian.
Pada Jumaat lalu, di satu majlis di Dungun, Zahid meminta anak muda negeri itu mengundi “gelombang merah biru” pada pilihan raya negeri, menambah yang peruntukan itu boleh bertambah sekiranya Pakatan Harapan-Barisan Nasional menang.
Zahid yang juga pengerusi BN mengumumkan geran bernilai RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu Malaysia, RM200,000 kepada pasukan motosikal seluruh negeri serta RM100,000 kepada persatuan belia Pihak Berkuasa Pembangunan Terengganu Tengah.
Pengumuman itu mencetuskan kecaman banyak pihak termasuk badan pemantau pilihan raya, Bersih, yang menggesa kerajaan tidak menyalahguna kuasa apabila menteri dan agensi persekutuan mengumumkan dasar dan peruntukan ketika tempoh berkempen PRN.
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga mengecam Zahid menerusi Twitter, menyifatkan tindakan presiden Umno itu sebagai “normalisasi korupsi”.
Zahid bagaimanapun membalas kritikan itu dengan “anak muda perlukan pembiayaan mencukupi untuk mengadakan aktiviti samada di peringkat daerah, negeri atau kebangsaan.”
Hari ini pula, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan samada SPRM akan mengambil tindakan ke atas Zahid dalam kes itu, menyifatkannya sebagai sogokan untuk meraih undi. – 30 Julai, 2023.
Komen