ANGKA kematian akibat hujan lebat, banjir dan tanah runtuh yang dicetuskan oleh Taufan Doksuri telah meningkat kepada 13 orang manakala 20 lagi hilang, kata agensi bencana Filipina pada Jumaat, lapor Xinhua.
Sembilan maut dalam kejadian tanah runtuh di Wilayah Pentadbiran Cordillera, satu di wilayah Ilocos di utara Filipina, dua di tengah Filipina dan satu di wilayah berhampiran Manila, kata Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC).
Sembilan lagi hilang di Wilayah Pentadbiran Cordillera dan 11 di Lembah Cagayan, wilayah di utara Filipina, tambah agensi itu.
Taufan Doksuri menjejaskan lebih 500,000 penduduk di negara Asia Tenggara itu. Lebih 29,000 orang yang berpindah masih berada di 479 pusat perlindungan sementara.
Doksuri, taufan kelima yang melanda Filipina tahun ini, mengakibatkan hujan selama beberapa hari, mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh. Banyak kawasan di pulau utama Luzon masih ditenggelami air walaupun Doksuri meninggalkan Filipina pada Khamis.
Jurucakap Pengawal Pantai Filipina Laksamana Muda Armando Balilo berkata pencarian diteruskan bagi empat anggota Pengawal Pantai yang hilang pada Rabu ketika dalam perjalanan untuk menyelamatkan tujuh kru bot yang hanyut di perairan wilayah Cagayan.
Pada Jumaat, biro cuaca memberi amaran yang lekukan tropika di luar Filipina bertambah menjadi ribut tropika. Setakat pagi Jumaat, biro itu mengesan ribut yang datang kira-kira 1,300 km ke timur Visayas Timur, sebuah wilayah di tengah Filipina. – Bernama, 28 Julai, 2023.
Komen