Kebebasan media harus diangkat, diperkasa, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim di majlis pelancaran 'Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat', di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar Facebook, 27 Julai, 2023.

BAGI memberikan rakyat berita dan maklumat yang adil dan benar, kebebasan media harus diangkat dan diperkasakan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata usaha itu juga dapat menangani semua jenis pembohongan jahat dan berita palsu yang boleh menyemai perpecahan dan ketidakpercayaan.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata demikian ketika mengumumkan inisiatif “Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat” di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, beliau turut mengulangi komitmen kerajaan untuk melaksanakan tatakeloka yang baik bagi mengembalikan keyakinan semua pihak dan ia hanya akan berhasil dengan dukungan dan kepercayaan semua pihak terhadap kerajaan.

Beliau berkata menerusi tatakelola yang baik serta sistem penyampaian perkhidmatan yang tangkas, hasrat itu berupaya untuk direalisasikan.

Beliau berkata untuk itu pembaharuan struktur, sistem dan institusi perlu segera dilaksanakan untuk membolehkan negara bergerak ke sasaran yang ingin dicapai.

Selain itu, perdana menteri berkata Dewan Rakyat juga perlu diberi peranan yang lebih luas selaras dengan reformasi Parlimen yang diusahakan sejak 2018.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen telah dibentuk dan peranan mereka dalam perundangan dan pengawasan akan ditetapkan melalui pindaan kepada Peraturan Tetap.

“Kerajaan juga memperkenalkan Sesi Pertanyaan Perdana Menteri untuk membolehkan interaksi secara langsung antara perdana menteri dengan ahli Yang Berhormat kerajaan dan pembangkang,” kata beliau.

Anwar berkata kerajaan akan terus bekerjasama dengan Parlimen, termasuk cadangan pemansuhan sebarang akta yang mungkin mempunyai tujuan pada masa lalu tetapi kini sudah lapuk malah bercanggah dengan hasrat Malaysia Madani. – Bernama, 27 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen