Hasnal digesa letak jawatan pesuruhjaya Suhakam


Hasnal Rezua Merican Habib Merican digesa meletakkan jawatannya sebagai pesuruhjaya Suhakam serta-merta.– Gambar Suhakam, 25 Julai, 2023.

SEBUAH kumpulan advokasi reformasi institusi mahu Hasnal Rezua Merican Habib Merican meletakkan jawatannya sebagai pesuruhjaya Suhakam serta-merta.

Tuntutan CSO Platform for Reform itu dibuat selepas Hasnal dinamakan sebagai calon Umno bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang Selangor untuk pilihan raya negeri akan datang.

Selangor bersama lima negeri lain – Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu – akan berdepan pilihan raya negeri pada 12 Ogos.

“Pelantikan seorang pemimpin politik ke jawatan penting dalam Suhakam menimbulkan persoalan serius mengenai kebebasan suruhanjaya dan keupayaannya berfungsi tanpa sebarang pengaruh luar.

“Tujuan utama Suhakam adalah untuk menjaga prinsip akauntabiliti dan menghormati hak asasi manusia. Bagaimanapun, penyertaan seorang pemimpin politik dalam Suhakam menimbulkan kebimbangan bahawa fungsi suruhanjaya itu mungkin terjejas,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu turut menegaskan Suhakam sebagai badan hak asasi manusia tertinggi negara mesti bebas daripada sebarang pengaruh politik dan eksekutif.

Tambahnya, kehadiran Hasnal, seorang pemimpin politik di Suhakam membimbangkan, lebih-lebih lagi partinya juga sebahagian daripada kerajaan Malaysia hari ini.

“Potensi konflik kepentingan menimbulkan kebimbangan. Justeru, kami juga menekankan keperluan untuk meneliti pelantikan pesuruhjaya baharu yang dibuat tahun lepas.

“Pemimpin politik tidak sepatutnya dilantik ke pejabat pesuruhjaya untuk memastikan kebebasan Suhakam.

“CSO Platform for Reform menyeru Pesuruhjaya Hasnal untuk menegakkan integriti Suhakam dengan meletakkan jawatannya seberapa segera.”

Baru-baru ini, bekas pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph turut menggesa Hasnal meletakkan jawatannya dalam suruhanjaya itu serta-merta.

“Jawatan pesuruhjaya mesti dilihat sebagai bebas dan tidak mempunyai kaitan politik. Kamu tidak boleh berbuat demikian jika kamu adalah pemimpin parti politik.”

Hasnal adalah antara pesuruhjaya Suhakam baharu yang dilantik pada Julai tahun lalu, bersama Noor Aziah Awal, bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ragunath Kesavan, Nordin Ibrahim, Dr Chew Chee Ming, Mary @ Mariati Robert, dan Nazira Abdul Rahim. – 25 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen