Kecuaian ibu bapa bukan satu kemalangan, kata Suhakam


Suhakam menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dengan laksana peruntukan sedia ada demi kepentingan kanak-kanak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2023.

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menegaskan kecederaan fizikal, emosi, atau kematian kanak-kanak akibat sikap tidak acuh ibu bapa tidak dianggap sebagai kemalangan di bawah undang-undang sekarang.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Suhakam Dr Farah Nini Dusuki berkata pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap ibu bapa atau penjaga yang cuai dengan menguatkuasakan peruntukan sedia ada dalam Akta Kanak-Kanak 2001 demi kepentingan terbaik kanak-kanak.

“CC amat dukacita dengan kematian kanak-kanak kecil baru-baru ini termasuk kejadian lemas membabitkan bot pelampung yang terbalik di Baling, Kedah, dan pelbagai lagi kejadian malang akibat kecuaian.

“CC mengingatkan ibu bapa atau penjaga mengenai tanggungjawab mereka untuk lebih berhati-hati dan prihatin terhadap keselamatan anak-anak,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada April lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemui mati lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai berhampiran loji rawatan air Sungai Limau, di Kupang.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata, mangsa Muhammad Yusuf Khairuddin dikatakan pergi ke kawasan itu kira-kira jam 11 pagi untuk berkelah bersama keluarganya.

“Ketika kejadian, ibu mangsa sedang memberi makan tiga lagi anak kecil di tepi sungai manakala Yusuf merayau di tempat lain,” katanya.

Farah berkata, data yang dikumpul Kementerian Kesihatan melaporkan peningkatan kadar kematian kanak-kanak bawah lima tahun pada 2018 berbanding 2017, dengan negeri Sabah mencatatkan kadar kematian kanak-kanak tertinggi iaitu 12.7 bagi setiap 1,000 kelahiran hidup.

Beliau berkata jumlah membimbangkan ini juga menunjukkan antara punca utama kematian yang boleh dicegah ini adalah kecederaan dan jangkitan akibat kekurangan imunisasi.

“Kecederaan fizikal atau emosi, atau kematian kanak-kanak yang disebabkan oleh kecuaian atau pendedahan ibu bapa atau penjaga, adalah kesalahan serius di bawah Seksyen 31 Akta 611.

“Jika sabit kesalahan, ibu bapa atau penjaga boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.”

Beliau berkata peningkatan ketara dalam penalti berkenaan dipinda dalam Akta 611 pada 2016 untuk bertindak sebagai langkah pencegahan terhadap ibu bapa atau penjaga yang cuai.

“Seksyen 31 dan 33 Akta 611 diperkukuhkan dengan menambah perintah yang bersifat pemulihan termasuk mewajibkan ibu bapa atau penjaga yang didapati cuai dan sengaja meninggalkan anak mereka tanpa pengawasan menghadiri bengkel keibubapaan.

“Ibu bapa atau penjaga hanya boleh dikecualikan daripada pertuduhan ini jika mereka sudah mengambil semua langkah keselamatan dan berjaga-jaga yang perlu.” – 12 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen