KERAJAAN mesti menunjukkan sikap tidak bertoleransi terhadap cubaan membunuh peguam hak asasi manusia Siti Zabedah Kasim, lebih dikenali sebagai Siti Kasim, kata badan pemerhati pilihan raya Bersih.
Bersih dalam satu kenyataan berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mesti membuat pendirian yang jelas bahawa beliau akan menghentikan percubaan ini sebelum keganasan itu menjadi sebahagian daripada budaya politik dan masyarakat kita.
“Bersih mengutuk sekeras-kerasnya percubaan membunuh aktivis peguam Siti Zabedah Kasim melalui dengan alat letupan buatan (IED).”
“Walaupun masih belum dapat dipastikan sama ada ia bermotifkan politik, perniagaan atau peribadi, percubaan terhadap Siti harus diklasifikasikan sebagai ‘keganasan terhadap pembela hak asasi manusia dan profesional’, seperti yang biasa berlaku kepada ahli politik, peguam, wartawan dan profesional lain yang bekerja untuk kepentingan awam di beberapa negara autoritarian,” katanya.
Minggu lalu, Siti membuat kenyataan di media sosial mendakwa satu objek menyerupai bahan letupan buatan sendiri diletakkan di dalam keretanya.
Peguam itu, dalam siaran langsung di Facebook rasminya, berkata penemuan itu dibuat apabila dia menghantar kenderaannya untuk diselenggara di sebuah pusat servis di Bangsar.
Ketua Polis Daerah Brickfields Amihizam Abdul Shukor mengesahkan dua botol berisi wayar yang ditemui di bawah kereta Siti dipercayai IED.
Menurut Bersih, cubaan membunuh Siti bukanlah yang pertama berlaku ke atas pembela hak asasi manusia di Malaysia.
Bersih memetik pembunuhan Bill Kayong dari Sarawak - seorang aktivis hak asasi Orang Asli yang dibunuh pembunuh upahan pada 2016.
“Sebelum ini, bekas pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah juga menerima ugutan dengan peluru dan darah.
Kerajaan mesti memastikan bahawa Siti Kasim tidak menerima nasib yang sama seperti Bill Kayong dan harus menyediakan pengawal peribadi atas permintaannya. Kami memuji polis kerana menangani perkara ini dengan serius tetapi keganasan seperti itu hanya akan terhenti jika pelaku dan yang bersubahat ditangkap, didakwa dan disabitkan kesalahan.”
“Menghentikan keganasan yang menyasarkan pembela hak asasi manusia dan profesional adalah kewajipan semua pihak, ahli politik, kumpulan masyarakat sivil dan pemimpin pendapat.”
“Apabila ini dilihat sebagai cara yang mudah untuk mendiamkan perbezaan pendapat dan pengkritik, semua orang boleh menjadi mangsa seterusnya,” tambahnya. – 24 Julai, 2023.
Komen