AHLI Parlimen Subang R Sivarasa sudah menghantar surat kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung insiden didakwa mengunakan ruang masjid untuk memberi ceramah politik pada minggu lalu.
Perkara tersebut disahkan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang mengakui menghantarnya dua hari lalu.
“Sivarasa menulis sepucuk surat peribadi kepada Sultan Selangor dan saya yang menghantar surat tersebut,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis pelancaran buku di Shah Alam hari ini.
Namun ketika ditanya adakah ia permohonan maaf Sivarasa kepada Sultan Selangor, menteri besar itu tidak dapat mengesahkan perkara terbabit.
“Saya tidak membaca kandungan surat itu kerana ia surat peribadi antara Sivarasa dan Sultan.
“Tapi saya percaya beliau akan membuat keputusan bijak untuk menyelesaikan isu tersebut.”
Wakil rakyat PKR itu menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor selepas didakwa memberi ucapan politik di ruang solat masjid An Nur Kampung Melayu Subang semasa majlis berbuka puasa pada Rabu lepas.
Sultan Selangor turut mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat perkara tersebut.
Bagaimanapun, ahli Parlimen itu menafikan beliau membuat ucapan berunsur politik di masjid tersebut. – 7 Jun, 2017.
Komen