Sultan Selangor tegur Sivarasa sekali lagi


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah meminta Jabatan Agama Islam Selangor menyiasat kejadian Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa berucap di Masjid An Nur di Kampung Melayu Subang, Rabu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2017.

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa “melampaui batas” kerana berucap di Masjid An Nur di Kampung Melayu Subang, Rabu lalu.

Sultan Sharafuddin berkata baginda sudah jelaskan sebelum ini yang ahli politik dilarang berucap atau berceramah di masjid bagi mengelak perpecahan dalam kalangan umat Islam.

“Namun teguran beta nampaknya tidak diendahkan dan beta ingin menegaskan – Ahli Parlimen Subang Sivarasa, ‘You have cross the line!’.

“Jikalau ahli Parlimen Subang hendak berucap lapan jam atau sepuluh jam di luar kawasan masjid, beta tidak menghalangnya.

“Itu semua terserah kepada rakyat sama ada mahu mendengar ataupun tidak, tetapi jangan sama sekali berucap di dalam masjid dan di dalam kawasan masjid,” katanya ketika menghadiri majlis buka puasa bersama rakyat dan dan majlis perasmian Masjid An Nur Temasya Glenmarie, hari ini.

Melahirkan rasa kekecewaannya berhubung perkara itu, Sultan Sharafuddin menegur pihak berkuasa masjid dan berkata nazir, imam dan ahli jawatankuasa masjid sepatutnya lebih peka dan mengambil berat terhadap titahnya dan tidak membenarkan masjid dijadikan tempat berpolitik.  

“Beta mahu masjid dan surau digunakan untuk tempat beribadat dan tempat untuk kita menuntut ilmu agama serta dijadikan tempat mengeratkan silaturahim sesama umat Islam supaya tidak berpecah-belah dan berpuak-puak.

“Beta memberi kuasa kepada nazir, imam dan ahli jawatankuasa masjid untuk menjaga rumah Allah dan kemuliaan masjid. Maka gunakanlah kuasa ini dengan sebaik-baiknya,” kata Sultan Sharafuddin, menambah jika mereka mahu aktif dalam politik, berhenti saja jawatan dalam masjid.

Sultan Sharafuddin berkata baginda tidak teragak-agak untuk menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya menamatkan perkhidmatan nazir, imam dan ahli jawatankuasa Masjid yang melanggar dan tidak mematuhi peraturan ditetapkan.  

“Dalam kes masjid An-Nur Kampung Melayu Subang ini, beta mahu JAIS menyiasat dengan terperinci dan jika ada bukti ahli jawatankuasa masjid melanggar peraturan sedia ada, tindakan selanjutnya hendaklah diambil terhadap mereka selepas Ramadan,” katanya.

Sivarasa menafikan sebarang salah laku pada Rabu dan bertegas yang beliau tidak menyampaikan ucapan politik ketika berada di masjid itu.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Muhyiddin Yassin juga berdepan keadaan sama apabila tidak dibenarkan mengadakan program Ramadan di masjid, baru-baru ini.

Bagaimanapun, bekas timbalan perdana menteri itu beliau akan mencari tempat lain untuk mengadakan programnya pada Ramadan. – 2 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen