Mei di Kuala Lumpur, Jun di Paris


Hishamuddin Rais

Pada 28 Jun 2023 warga miskin kota mengamuk di kota Paris selepas insiden remaja lelaki maut ditembak mati oleh polis berkulit putih. – Gambar AFP, 21 Julai, 2023.

PADA Mei 1969 saya berada di Kuala Kangsar. Pada Mei 1969, Lim Kit Sing berada di Sabah.

Pada 13 Mei 1969, saya masih berada di Kuala Kangsar. Pada 13 Mei 1969, Kit Siang masih lagi berada di Sabah

Pada 13 Mei 1969, warga miskin kota mengamuk di Kuala Lumpur. Pada 28 Jun 2023, warga miskin kota mengamuk di Paris.

Pada 19 Julai 2023, Kit Siang dilaporkan berkata suasana negara seperti suasana sebelum 13 Mei 1969.  

Pada 19 Julai 2023, Hishamuddin Rais membaca berita mengenai Kit Siang yang berasa risau kerana hubungan harmoni kaum di Malaysia makin merosot. Malah Kit Sing menggambarkan ambience politik hari ini sama seperti pra 13 Mei.

Justeru pada Khamis 20 Julai 2023, Hishamuddin Rais menyambung kembali tulisan mengenai kesedaran Melayu.

Kita wajib tahu di mana kita berdiri di mana kita duduk. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Dari situlah lahirnya DNA sejarah diri kita.

Justeru, saya tahu di mana saya berada pada pagi Rabu 4 April 1979.

Pada pagi Rabu itu, saya berada di Empress Market – pasar besar kota Karachi, Pakistan.

Ketika itu saya menjadi pendatang haram di Pakistan. Saya tanpa pasport, berjaya lari daripada kezaliman kerajaan yang dikepalai oleh United Malays National Organisation (Umno).

Di pagi itu – saya ingat lagi di gerai mana saya berada dalam pasar ketika saya melihat pemilik gerai menghadiahkan gula-gula kepada pelanggan dengan penuh keriangan.

Pada pagi itu, Zulfikar Ali Bhutto bekas perdana menteri Pakistan digantung mati di waktu subuh di Penjara Besar Rawalpindi, Pakistan.

Berita tersebar ke Karachi hampir jam 10 pagi.

Sebelum digantung mati, Bhutto dibicarakan. Saya mengikuti perbicaraan ini dengan membeli “rejoinder” yang difotokopi dan dijual di kedai buku oleh penyokong Bhutto.

Rejoinder adalah terma guaman yang memberi makna: Jawapan orang dituduh terhadap dakwaan yang dihadapkan.

Rejoinder Bhutto yang dicetak adalah hasil fikrah peguam lulusan University of California Berkeley dan Oxford University.

Apa hubungan rejoinder Bhutto dengan kesedaran Melayu?

Bhutto menulis rejoinder ketika dituduh di mahkamah. Hishamuddin Rais juga menulis rejoinder untuk menjawab surah Kit Siang.

Rejoinder saya ini bukan kerana saya berhadapan dengan tali gantung. Malah lebih daripada tali gantung.

Rejoinder yang saya tulis ini digarap kerana bani Melayu bukan saja berhadapan dengan tali gantung malah sedang diberi dedak.

Dedak yang ditabur sedang memandulkan fikrah Melayu. Dedak untuk memanaikan kecergasan fikrah Bani Melayu.  

Rejoinder Hishamuddin Rais bukan melalui Harvard atau Oxford tapi melalui pengalaman dan pandangan empirikal yang kritikal tentang DNA politik Tanah Melayu.

Tahun 1980, George Lucas dari Hollywood menggarap “The Empire Strikes Back”.

Tahun 2023, Hishamuddin Rais menggarap “Malay Empire Strikes Back”.

Apa yang saya garap ini bertujuan untuk meluruskan benang kusut milik anak semua bangsa dan bangsa semua agama di Tanah Melayu.

Saya ingin memberi pencerahan tentang apa yang berlaku satu ketika dulu.

Membuka DNA sejarah Tanah Melayu hingga kita berhadapan dengan DNA politik yang kita hadapi sekarang.

Rejoinder saya ini adalah usaha untuk merungkai suasana kusut yang dikatakan oleh Kit Siang – suasana pra 13 Mei.

Untuk membuka pencerahan ini saya bawa pembaca ke Paris.

Pada 28 Jun 2023 warga miskin kota mengamuk dalam kota Paris. Punca disebabkan seorang anak muda tidak berkulit putih ditembak mati oleh polis berkulit putih.

Pembunuhan oleh anggota polis dianggap rasis. Polis berkulit putih yang memiliki senjata membunuh anak muda yang tidak berkulit putih.

Anak muda ini tidak bersenjata. Malah kesalahan hanya melanggar lampu trafik dan tidak memiliki lesen memandu.

Mengikut  Mao Zedong – pemimpin Parti Komunis China – kuasa muncul dari laras senapang.

Polis kulit putih ada pistol yakni kuasa. Manakala yang ditembak mati – Nahel Merzouk anak keturunan Arab Algeria yang baru berumur 17 tahun tidak ada senjata.

Bukan sahaja Nahel tidak bersenjata. Nahel, kaum keluarga Nahel, suku sakat Nahel dan mereka yang sewaktu dengan Nahel tidak memiliki kuasa – zero, nil et rien. Mereka mewakili warga miskin kota Paris.

Si Nahel anak muda berketurunan Arab ini mewakili, simbol dan memanifestasikan semua pendatang bukan berkulit putih di Perancis.

Nahel tinggal di wilayah Nanterre. Warga di wilayah Nanterre ini rata-rata miskin.

Justeru, mereka tinggal di flat milik bandar raya di pinggir kota.

Mereka bukan duduk di wilayah Nueilly atau Saint Maurice yang lumayan. Flat di Nanterre sempit, cekai lagi cokia.

Rumah-rumah flat mereka kotor lagi bobrok.

Dalam masa yang sama diri merekalah penyumbang statistik penganggur yang tinggi. Mereka miskin merempat tanpa pekerjaan yang bergaji lumayan.

Kawasan perumahan Si Nahel ini menjadi wilayah dadah. Menjadi sarang samseng. Menjadi tempat jual beli barang curi. Malah rompak dan samun adalah babak harian mereka.

Heroin, ganja, hashis dan syabu menjadi budaya yang mengelilingi Nahel. Polis yang tidak berkulit hitam enggan masuk ke wilayah perkampungan Nahel.

Justeru, sudah ada keterpendaman lama yang menunggu masa untuk meledak.

Anak Krakatoa telah lama terpendam. Gunung Agung telah lama memendam rasa. Suasana telah lama menghangat dan bila-bila masa sahaja akan memuntahkan lava yang panas membakar.

Ada apa dengan Paris? Apa sangkut paut Paris dengan DNA politik Tanah Melayu yang kita hadapi sekarang?

Warga Perancis mengamuk di beberapa wilayah di Paris.

Kedai dibakar – barang dalam kedai di curi. Kereta milik polis dibakar, bas awam dibakar, bangunan kerajaan dibakar – ini gambaran amukan keganasan yang mula berlaku di Paris pada 28 Jun 2023.

Hampir satu minggu suasana tegang di seluruh  Perancis.

Pada 13 Mei 1969 – ketika saya di Kuala Kangsar – ada kereta dibakar, ada rumah dibakar, ada orang mati dibunuh di Kuala Lumpur.

Apa yang berlaku di Paris tiada bezanya dari 13 Mei seperti yang disurahkan oleh Kit Siang.

Di Paris yang mengamuk warga miskin kota. Di Kuala Lumpur yang mengamuk juga adalah warga miskin kota.

Di Paris yang keluar membakar kereta adalah anak-anak muda yang tidak berkulit putih.

Di Kuala Lumpur yang membakar kereta adalah mereka yang datang dari pinggir kota – dari kampung setinggan Selayang, Kampung Kerinchi atau Kampung Baru.

Justeru, Hishamuddin Rais bertanya: Kenapa yang bangun melawan di Paris tidak dituduh rasis?

Kenapa yang bangun melawan di Kuala Lumpur dituduh rasis? Walhal dua-dua di Paris dan di Kuala Lumpur adalah perlawanan dan pemberontakan warga miskin kota.

Justeru, saya mentakrifkan ambience dan suasana 13 Mei yang diceritakan oleh Kit Siang tidak lengkap.

Sebelum Paris meledak terbakar pada 28 Jun telah wujud kemarahan warga yang tidak berkulit putih.

Mereka merasa diri mereka ditinggalkan dan diketepikan daripada punca ekonomi.

Sebelum Kuala Lumpur meledak terbakar pada 13 Mei sudah wujud kemarahan Bani Melayu.

Mereka berasa “di-Red Indian-kan” di tanah air mereka sendiri. Mereka berasa harta kekayaan bumi Tanah Melayu tidak lagi milik mereka.

Mereka melihat pendatang asing yang membolot harta kekayaan di bumi datuk nenek moyang mereka.

Kelas yang kaya di Perancis adalah kelas yang berkulit putih. Kelas yang miskin tertindas di Perancis adalah yang tidak berkulit putih.

Kelas yang kaya di Tanah Melayu adalah pendatang China. Kelas miskin tertindas adalah Bani Melayu.

Justeru, 28 Jun di Paris adalah pemberontakan kelas tertindas.

Justeru, 13 Mei di Kuala Lumpur adalah pemberontakan kelas tertindas.

Jika di Paris, 28 Jun ditakrif sebagai kemarahan kaum miskin maka saya Hishamuddin Rais mahu mengubah naratif 13 Mei di Kuala Lumpur daripada pergaduhan kaum ke pergaduhan kelas.

Pertentangan kelas ini adalah kontradiksi utama. Kelas ada manifestasi dari ekonomi. Saya sedar amat mudah untuk mentakrif 13 Mei sebagai pergaduhan kaum.

Singkap kain kaum itu dan lihat ada apa di dalamnya. Pasti akan tertonjol kelas.

Umat manusia sama ada di Perancis  atau di Tanah Melayu semuanya memiliki latar belakang kelas. Sama ada mereka berkulit putih, berkulit hitam, berkulit kuning, berkulit sawo matang semuanya akan terikat dengan kelas.

Surah Kit Siang tentang 13 Mei jika tidak memasukkan unsur kelas sebagai unsur induk maka ia pasti akan tempang.

Malah jika DNA politik hari ini di campur gaulkan dengan ABR – agama, bangsa dan raja – maka ia pasti tunggang terbalik.

Malah pada hemat saya DNA politik yang berlaku sekarang akan mengulangi sejarah pembelotan Umno dengan kuasa kolonial Inggeris.  

Ulangi pembelotan seperti apa? Sila tunggu minggu hadapan untuk pencerahan. Amin. – 21 Julai, 2023.
 

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen