Bersih gesa tanding secara adil pada pilihan raya negeri


Noel Achariam

Badan pemantau pilihan raya, Bersih hari ini menasihatkan semua pihak untuk bersaing secara adil pada pilihan raya 12 Ogos ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2023.

BADAN pemantau pilihan raya, Bersih hari ini menasihatkan semua pihak untuk bersaing secara adil pada pilihan raya 12 Ogos ini supaya pengundi tidak terpengaruh secara berlebihan dan tidak adil oleh pihak yang mempunyai akses kepada sumber dan jentera negeri.

Bersih berkata pihaknya juga bimbang dengan peranan yang dimainkan oleh pemimpin politik yang merupakan sebahagian daripada kerajaan persekutuan menjelang enam pilihan raya negeri akan datang.

“Walaupun jelas kerajaan negeri berada dalam mod sementara dan tidak sepatutnya menggunakan sumber negeri untuk berkempen atau membuat sebarang pengumuman besar mengenai peruntukan, tetapi kurang jelas mengenai peranan kerajaan persekutuan yang tidak berada dalam mod sementara,” katanya dalam satu kenyataan.

Bersih juga mencadangkan beberapa garis panduan kepada situasi di mana pilihan raya persekutuan dan negeri tidak diadakan bersama.

Ini katanya, bagi memastikan semua pihak tidak menyalahgunakan sumber kerajaan di peringkat berbeza untuk mendapatkan kelebihan yang tidak wajar ke atas lawan mereka.

Ia mencadangkan supaya tiada syarat dikenakan untuk memenuhi sebarang pengumuman atau peruntukan yang dibuat kepada pengundi seperti parti atau calon yang menang dalam pilihan raya akan datang.

“Sebarang komitmen yang dibuat oleh kerajaan persekutuan harus ditunaikan tanpa mengira keputusan pilihan raya negeri.”

Bersih juga berkata kempen tidak harus dilakukan semasa majlis rasmi kerajaan persekutuan yang mana rujukan dibuat kepada pilihan raya akan datang, dan nama parti atau calon disebut, dan simbol atau bendera parti dipamerkan.

“Tiada peruntukan dibuat secara terpilih bagi kawasan pilihan raya bagi membantu pihak tertentu merampas atau mengekalkan kawasan pilihan raya tersebut.

“Calon juga tidak sepatutnya hadir dalam majlis kerajaan persekutuan melainkan mereka juga menteri persekutuan sendiri, apabila pengumuman atau peruntukan khas dibuat.”

Bersih berkata cadangan mereka adalah untuk situasi yang mana tiada garis panduan atau undang-undang untuk mengawal selia aktiviti kerajaan yang bukan dalam mod sementara.

“Prinsip-prinsip ini juga harus terpakai kepada kerajaan negeri bukan sementara semasa pilihan raya umum.

“Bersih berharap semua parti dan pemimpin politik akan menjunjung semangat pertandingan adil semasa pilihan raya dan mengelak daripada menyalahgunakan sumber dan jentera negeri untuk mendapatkan kelebihan yang tidak adil.

“Pengundi sedang memerhati, dan pemerhati pilihan raya yang digerakkan oleh Bersih akan mendokumentasikan calon dan parti yang melakukan kesalahan kempen pilihan raya.” – 20 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen