PRK Kuala Terengganu serentak PRN


Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu turut diadakan serentak dengan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Julai 2023.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dijalankan serentak dengan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu turut diadakan serentak dengan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan iaitu masing-masing pada 29 Julai dan 8 Ogos.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR Putrajaya bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK berkenaan.

Mesyuarat itu diadakan susulan suruhanjaya menerima Laporan Hakim Pilihan Raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkenaan keputusan mahkamah membatalkan pilihan raya bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu pada 19 November lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Ahmad Amzad Hashim yang mewakili PAS di Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas pempetisyen iaitu calon Barisan Nasional Mohd Zubir Embong berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Pada 8 Julai lepas, PAS memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu yang membatalkan kemenangan parti itu. – Bernama, 18 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen