Isu stadium Shah Alam, exco kata 'go to hell' FAS


Diyana Ibrahim

Exco Selangor Amiruddin Shari hari ini berang pada sesi DUN berhubung kemelut bola sepak Selangor dan isu penggunaan stadium Shah Alam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2018.

EXCO kerajaan negeri Selangor, Amiruddin Shari gagal mengawal emosi sehingga menghamburkan kata-kata kasar “go to hell” dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini semasa menjawab soalan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) berhubung isu penggunaan Stadium Shah Alam.

Beliau sebelum itu ditanya oleh Adun Sungai Panjang Budiman Mohd Zohdi yang mahu tahu sampai bila kemelut bola sepak Selangor akan berpanjangan.

Amiruddin nampak berang dengan soalan berkenaan apabila wakil rakyat BN itu menuduh pendirian kerajaan negeri berhubung isu penggunaan stadium Shah Alam bermotifkan politik.

“Go to hell (pergi jahanam) kepada mereka,” kata Amiruddin, merujuk kepada Persatuan Bola sepak Selangor (FAS) yang didakwanya menjadi ejen BN untuk menyerang kerajaan negeri berhubung isu tersebut.

Katanya, kerajaan negeri sudah bersedia berunding dengan FAS untuk menyelesaikan isu penggunaan Stadium Shah Alam namun persatuan itu menolak dan enggan untuk berjumpa dengannya.

“Akhirnya bila buka pintu rundingan, surat terbaru yang saya terima daripada FAS tak nak berjumpa dengan saya.

“Isunya mereka nak gunakan ia sebagai modal politik, menjadi ejen BN dalam FAS untuk jadikan isu ini sebagai isu politik serang kerajaan negeri dan jadi agenda untuk memburukkan kerajaan negeri.

“Go to hell kepada mereka, kita ada rancangan sendiri,” katanya yang juga exco pembangunan generasi muda, sukan dan kebudayaan dan pembangunan usahawan itu semasa persidangan DUN Selangor hari ini.

Budiman sebelum itu berkata konflik antara kerajaan Selangor dan FAS yang sudah berlarutan ini sangat merugikan rakyat dan mendakwa kerajaan negeri menjadikan isu itu sebagai isu politik.

Kerajaan Selangor sebelum ini melarang FAS menggunakan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi pasukan The Red Giants beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Exco itu mempertahankan pendirian tersebut kerana FAS didakwa tidak menunjukkan taat setia dan hormat kepada Sultan Selangor berhubung keputusan tidak membenarkan pemain The Red Giants beraksi di kejohanan Piala Sultan Selangor 2017.

Amirudin turut mendakwa, FAS bongkak apabila enggan berunding dengannya dan membuat permintaan hanya untuk berjumpa dengan Menteri Besar Azmin Ali. – 27 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen