Cokia itu dayus


Faisal Tehrani

Yang menjadikan Donald Trump sebagai pemimpin AS paling cokia ialah kerana dia memperlekeh dan memperlecehkan institusi penting di negaranya. – Gambar AFP, 18 Julai 2023.

ADA seorang presiden Amerika Syarikat (AS) yang kini dianggap pemimpin paling cokia dalam sejarah negara tersebut. Namanya Donald Trump. Jangan silap faham; bila dikatakan cokia di sini, yang bermaksud dia si Trump ini tiada pengikut. Malah pengikutnya agak ramai, dan masih degil. Bahkan, penyokong dan pengikutnya kini menguasai rumah-rumah demokrasi penting di Amerika. Mereka memperagakan kecokian diri tanpa rasa malu.

Ada banyak sebab Trump ini cokia. Sebagai contoh, dia pernah kedengaran berjenaka cokia untuk meraba kemaluan wanita, atau selalu menggunakan media sosial dan bercakap cokia-merapu seperti seorang pelawak tiada moral, dan mengancam orang bukan-bukan. Paling cokia apabila dia menuduh lawan atau seseorang yang tidak disukainya di platform Twitter, dan kemudian berbuat ralat yang hanya dikongsi oleh sejumlah kecil orang. Padahal kemusnahan sebenar telah pun berlaku.

Jadi Trump ini bukan sahaja cokia, tetapi agak dayus.

Yang menjadikan Trump sebagai pemimpin paling cokia ialah kerana dia memperlekeh, dan memperlecehkan institusi penting di negaranya. Oleh sebab kalah Pilihan Raya Presiden AS yang agak sengit (memang dia kalah tipis), maka Trump mempersenda institusi negaranya, lalu mengajak penyokongnya yang ramai dan cokia itu untuk berpihak kepadanya.

Cara untuk berpihak kepadanya? Melakukan sesuatu paling cokia; yakni pemberontakan dan penggulingan Capitol, sumber dan ilham demokrasi Amerika. Maka pada 6 Januari 2021, segerombolan pengikut cokia Presiden Donald Trump telah menyerang Capitol AS.

Peristiwa ini berlaku tatkala Kongres dan Senat sedang bersidang untuk mengesahkan undi Kolej Elektoral bagi Pilihan Raya Presiden AS 2020 yang dimenangi Joe Biden.

Sejak 5 menganjur ke 6 Januari, penyokong cokia Trump berkumpul di Washington, D.C untuk membantah keputusan pilihan raya tersebut, di mana Trump, penyokong dan sekutunya telah menggesa tanpa segan silu agar Naib Presiden Mike Pence dan Kongres membatalkan kemenangan Biden.

Trump adalah seorang pengguna media sosial yang tegar. Dia tahu bilamana kalau ucapan cokianya itu boleh tiba ke benak jahil dan taasub pengikut cokianya. Dia juga tahu lawak yang mana akan disambut serius, dan fitnah yang mana akan menjadi bara.

Justeru, pada pagi 6 Januari para penunjuk perasaan cokia lantas berkumpul untuk himpunan “Selamatkan Amerika” yang diadakan di The Ellipse Rumah Putih. Mereka telah bersemangat dengan jolok dan provok cokia presiden Trump, Donald Trump Jr. dan Rudy Giuliani. Tunjuk perasaan itu segera meniti klimaks sehingga berekor menjadi rusuhan bila mana bangunan Capitol AS diserang oleh penyokong Trump.

Apabila keganasan berlaku, sesuatu yang asalnya cokia itu kini menjadi kalut. Ucapan-ucapan cokia Trump memang kalau didengar serasa benar, sebab muatannya “berjuang sepenuh tenaga” agar Republikan dapat “mengambil semula negara kita”.

Penyokongnya yang cokia tetapi sudah dibakar api lantas menyerbu masuk Capitol, melakukan vandalisme, mengancam penjawat awam di situ, dan berlaku kekacauan yang amat buruk dan nista sehingga adanya korban. Dalam sejarah Amerika kini, serangan di Capitol itu telah digambarkan sebagai pemberontakan, hasutan dan keganasan domestik. Maka jangan ambil enteng pemimpin cokia.

Tentu apabila keadaan menjadi sangat buruk, Trump beralih nada seolah-olah dia di pihak yang mendambakan keamanan dan anti keganasan. Berbekalkan media sosial, pada jam 4:22 petang hari tersebut, Trump mengeluarkan pesanan video di Twitter.

Video cokia tersebut menyuguhkan tampang beliau memberitahu penyokongnya yang cokia seperti dirinya, “Pilihan raya ini ialah pilihan raya yang tidak masuk akal tetapi kita tidak boleh jatuh ke dalam helah golongan ini. Kita harus kekal aman. Oleh itu, pulanglah. Kami mencintaimu. Anda sangat istimewa. Anda telah menyaksikan peristiwa yang berlaku. Anda telah menyaksikan layanan buruk yang diperlakukan kepada orang lain. Saya turut bersimpati. Pulanglah ke rumah masing-masing dengan aman.”

Trump ikut mengarang ciapan cokia lain: “Inilah kesannya apabila kemenangan besar pilihan raya ini telah dirampas dengan biadabnya daripada golongan yang setia kepada negaranya yang sejak sekian lama dilayan dengan teruk dan tidak adil.”

Cara Trump memanglah tidak bertanggungjawab dan dalam erti kata mudah; cokia. Beliau membaling batu dan bersembunyi tangan. Setepatnya seibarat seorang dayus. Lima orang terkorban. Ramai yang cedera termasuk 138 orang pegawai polis. Empat pegawai yang berada di barisan hadapan membunuh diri dalam tempoh tujuh bulan kerana trauma berpanjangan.

Meskipun sedang berdepan dengan pendakwaan yang panjang dan berlarutan, Trump masih bebas, dan sering tampil dalam pelbagai rancangan cokia di atas talian yang boleh diakses oleh pengikut cokianya. Dalam rancangan atau program cokia atas talian itu, Trump masih menfitnah, mengeluarkan lawak dan jenaka bodoh-cokia, dan terus digemari oleh komponen rakyat yang cokia.

Akan tetapi secokia-cokia Trump, penjawat awam di AS tidak cokia dan tidak sedia menyahut dan menyambut kejahatannya. Maka institusi negara Amerika terlindung oleh kebijaksanaan dan pandangan jauh penjawat awamnya selaku pendukung demokrasi. Kita tidak dapat membayangkan kalau penjawat awam negara itu turut cokia. Apa akan terjadi gamaknya?

Gaya politik cokia Trump ini boleh ditiru dan diaplikasikan oleh sesiapa pun yang suka politik atau kepimpinan gaya cokia ini. Ini kerana gambaran ngerinya ia boleh bertahan memandangkan pengikut Trump kekal cokia dan membuntut mematuhinya meskipun beliau kini berdepan dengan dakwaan jenayah dan pengkhianatan terhadap negara.

Niat Trump atau cokia-cokia sedia ada adalah supaya kekuatan bernegara runtuh dan musnah dengan lawak jenaka; fitnah kemudian ralat; tuduh kemudian memohon keampunan, dan dakwaan-dakwaan sampah lagi bangsat.

Pengikut Trump yang cokia itu ikut sama mencokiakan diri mereka. Cokia-cokia pun bergabung tenaga dan berseru cokia beramai-ramai. Mereka kuat dan membala, ini kerana tiada pencegahan sebenar dapat dilakukan.

Ada banyak pelajaran besar dapat diambil dari perangai cokia Trump ini. Tidak mustahil gaya cokia begini diadoptasi oleh mana-mana pemimpin cokia di negara kita juga. Dalam banyak-banyak cara melakukan kecokiaannya itu, seorang penyamar cokia seperti Trump boleh menyerang dan memperlekehkan institusi negaranya.

Trump telah dengan selamba mencokiakan Capitol, pusat rujukan demokrasi. Barang diingat, mengkritik institusi negara tidak sama dengan memperlecehkan institusi negara. Sesuatu kritikan bukanlah sesuatu pencokiaan.

Kritikan membawa kepada pembaikan dan manfaat, sedangkan perlecehen mendorong kepada bahaya penderhakaan, pecah keamanan dan kekacauan seperti yang terjadi di AS dalam serangan 6 Januari itu.

Oleh itu kita hendaklah berwaspada dengan pemimpin politik cokia dengan kempen cokia dan pengikut cokia. Kekuatan segerombolan cokia boleh meruntuhkan daya-upaya dan rukun sesebuah nusa bangsa.

Donald Trump ini cokia, dan juga agak dayus. Cokia-Dayus. – 18 Julai 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen