Sanusi buka akaun baharu TikTok


Ravin Palanisamy

Muhammad Sanusi Md Nor terpaksa membuka akaun baharu TikTok selepas akaun asalnya didakwa disekat kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2023.

MENTERI Besar sementara Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor membuka akaun baharu TikTok selepas mendakwa kerajaan persekutuan menyekat akaun pertamanya.

Sanusi, yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN), membuka akaun baharu lewat malam tadi di bawah nama pengguna @sanusimdnor74.

Akaun baharu TikTok miliknya, pada masa laporan ini ditulis, meraih lebih daripada 80,000 pengikut sejak ia dibuka kira-kira 12 jam lalu.

Sanusi memuat naik satu video di akaun baharu itu pada kira-kira jam 3 pagi dengan gambar dirinya serta nama pengguna akaun baharunya itu.

Bercakap pada satu ceramah di Baling malam tadi, Sanusi berkata Putrajaya bertindak menyekat akaunnya.

Beliau berkata, tindakan itu dilakukan untuk menghalangnya daripada bercakap kepada rakyat menjelang pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Beliau mendakwa, akaun TikTok beberapa pemimpin PN turut disekat.

Sanusi juga menggunakan laman Facebook untuk mengumumkan kepada pengikutnya mengenai pembukaan akaun baharu TikTok itu.

Beliau meminta pelayar untuk menggunakan akaun yang betul dengan memberikan nama pengguna, mendakwa ada beberapa akaun di TikTok didapati mengguna namanya.

Sanusi turut berkongsi satu hantaran di Facebook beliau - tangkap layar pengguna TikTok dari Singapura - yang mendakwa akaun pertama MB Kedah itu masih boleh diakses di negara itu.

Dalam bahagian komen, beberapa pengguna yang mendakwa dari Arab Saudi, Belanda, Australia dan Sweden berkata, mereka masih boleh mengakses akaun pertama TikTok milik Sanusi.

Seorang lagi pengguna dengan nama pengguna Azizul Aziz berkata, menggunakan VPN juga membolehkan akaun pertama TikTok Sanusi ditemui dan diakses.

“Ini bermakna akaun itu disekat oleh kerajaan Madani,” katanya.

Bagaimanapun, Sanusi berkata beliau akan hanya menyiar video terbaharu di akaun yang baharu dibukanya.

Terdahulu beliau berkata, sekatan ke atas akaun TikTok asalnya menyebabkan beliau tidak boleh berkomunikasi dengan 5.2 juta pengikutnya.

The Malaysian Insight cuba menghubungi TikTok, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil untuk mendapatkan komen mereka.

Baru-baru ini Fahmi memberi amaran TikTok akan bekerjasama dengan kerajaan untuk memantau bahan di platform itu.

Sanusi kini disiasat polis kerana ceramahnya yang menyentuh isu perkauman, agama dan Raja. – 16 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen