Sanusi dakwa akaun TikTok disekat 


Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional Muhammad Sanusi Md Nor berkata beliau tidak dapat berkomunikasi dengan 5.2 juta pengikutnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2023.

PENGARAH pilihan raya Perikatan Nasional Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan persekutuan telah menggantung akaun TikToknya.

Bercakap dalam ceramah di Baling malam tadi, menteri besar Kedah itu berkata langkah Putrajaya itu bertujuan menghalang beliau daripada mendekati rakyat, terutama dengan pilihan raya negeri yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini.

Beliau juga mendakwa akaun TikTok beberapa pemimpin PN lain turut disekat.

“Apabila saya menyemak akaun TiKTok saya, saya mendapati saya tidak dapat menemui semuanya. Akaun telah disekat dan saya tidak mempunyai akses kepadanya.

“Ini bermakna saya tidak dapat berkomunikasi dengan 5.2 juta pengikut saya. Saya tidak dapat mempertahankan diri saya daripada semua serangan yang dibuat terhadap saya.

“Mereka akan terus menyerang saya dan PAS dan PN tidak mempunyai media untuk mempertahankan diri,” katanya.

Beliau turut mengecam kerajaan persekutuan kerana menyekat kebebasannya bersuara, dan kerana menafikan akses kepada media dan akaun media sosialnya.

“Ini sama seperti Korea Utara, tiada kebebasan media langsung. Beginilah rupa pentadbiran Pakatan Harapan dan Barisan Nasional,” katanya.

Klip video ucapannya tular di media sosial.

The Malaysian Insight cuba mendapatkan komen daripada TikTok, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengenai perkara ini.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini Fahmi memberi amaran kepada TikTok untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi mengawal kandungan di platformnya.

Sementara itu, Sanusi sedang disiasat polis berhubung kenyataan menyentuh 3R (kaum, agama dan raja). – 16 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen