RANG Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, akan memberi “kesan untuk menakut-nakutkan” pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata peguam dan juga aktivis Ambiga Sreenevasan.
Bekas presiden Majlis Peguam Malaysia itu berkata media dan orang ramai akan berasa tertekan untuk berkongsi maklumat, sambil menambah ia akan menakutkan rakyat Malaysia.
Ambiga berkata undang-undang itu dicadangkan bagi menghentikan orang ramai daripada bercakap mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
“Tiada sebab lain bagi undang-undang itu. Banyak bahagian undang-undangnya mengulangi perundangan sedia ada selain bahagian had tambahan.
“Ini bertujuan untuk memberi kesan menakut-nakutkan kita semua dan akhbar kerana pilihan raya akan datang. Mereka mahu memastikan semua orang yang menggerakkan rang undang-undang ini dilindungi.
“Anda tidak perlu melakukan ini jika tiada apa yang anda takutkan.
“Mereka tidak boleh terus mengurangkan hak kami. Ia begitu jelas sehingga kita tidak dapat berdiam lagi. Sekiranya kita berbuat demikian, kita berisiko menghadapi pilihan raya yang dicuri daripada kita,” kata Ambiga semasa forum “PRU14 Bakal Dicuri” di Dewan Perhimpunan Cina KL Selangor malam tadi.
Pakar strategi pilihan raya DAP, Dr Ong Kian Ming berkata, masa pelaksanaan undang-undang itu tidak memberikan banyak tempoh kepada pembangkang untuk menyesuaikan strateginya.
“Kebimbangan terbesar kami ialah pengundi akan berhenti daripada menyebarkan kebenaran manakala maklumat yang mengelirukan diberikan kepada mereka.
“Akibat daripada undang-undang ini, beberapa maklumat yang kami ada mengenai 1MDB (contohnya) tidak boleh menjadi tular sebagai sepatutnya kerana ia boleh menyebabkan ketakutan di kalangan pengundi,” tambah Ong.
Pengarah Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata ia pasti akan memberi kesan langsung kepada portal berita alternatif yang sering dikaitkan dengan anti kerajaan.
“Akta ini juga mampu memberikan implikasi terhadap psikologi pengguna media sosial agar berhati-hati sebelum menularkan sesuatu isu tanpa pengesahan kesahihan berita berkenaan.
“Ketakutan ini mampu membendung sedikit wewenang zon perang media sosial melalui akta ini secara tidak langsung. Sebelum ini pada PRU13, perang media sosial memberikan kelebihan kepada Pakatan Rakyat, dengan adanya akta baharu ini, sedikit sebanyak mampu mengimbangi penguasaan media bagi kedua belah pihak menjelang PRU14 ini,” katanya.
Putrajaya membentangkan RUU ) Antiberita Tidak Benar 2018 di Dewan Rakyat semalam. Menurut RUU itu, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000 atau berdepan 10 tahun penjara kerana menyebarkan berita palsu.
RUU itu juga mentakrifkan “berita palsu” sebagai “apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea”.
Pengkritik mengatakan undang-undang baru akan mewujudkan suasana ketakutan walaupun Menteri Komunikasi dan Multimedia Said Salleh Keruak memberitahu wartawan asing yang laporan 1MDB tidak sama seperti “menyebarkan berita palsu”. – 27 Mac, 2018.
Komen