Laporan berkaitan 1MDB tidak dianggap berita palsu, kata Salleh 


Muzliza Mustafa Chan Kok Leong

Menteri Komunikasi dan Multimedia Salled Said Keruak berkata wartawan boleh memetik dan melaporkan apa yang dikatakan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dalam laporannya. – Gamnar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2018.

LAPORAN berkaitan 1Malaysia Development Berhad tidak boleh dianggap sebagai berita palsu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak kepada koresponden asing dalam satu pertemuan yang diadakan hari ini. 

Menteri berkenaan turut memberi jaminan tiada siapa akan dihalang untuk melaporkannya. 

“Kita tidak menghalang sesiapa untuk melaporkan apa sahaja,” kata Salleh. 

Dalam satu klip video yang dimuat naik menerusi Twitter, Salleh berkata wartawan boleh memetik dan melaporkan apa yang dikatakan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dalam laporannya. 

“Kamu boleh memetik mereka, apa sahaja yang mereka katakan berdasarkan laporan mereka. Ia tidak dianggap sebagai berita palsu sekiranya kamu memetik apa yang mereka kata seperti DOJ.

Ditanya adakah ia boleh dianggap sebagai meyebarkan berita palsu, Salleh menjawab: “Tidak. Bagaimana ia dianggap sebagai berita palsu?”

Menjelang pilihan raya umum akan datang, Putrajaya membentangkan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar di Dewan Rakyat hari ini.

Pertemuan hari ini diadakan antara menteri berkenaan dengan ahli Kelab Koresponden Media Asing Malaysia di Kuala Lumpur.

Menurut sumber, menteri itu turut mengulas secara ringkas berhubung pilihan raya umum Malaysia akan datang dan menyatakan Barisan Nasional yakin akan mengekalkan 150 kerusi atau majoriti dua pertiga.

Beliau berkata walaupun pandangan yang bertentangan dibenarkan oleh kerajaan, adalah menjadi tugas kerajaan untuk memastikan pandangan itu tidak membawa kepada perselisihan ketika pilihan raya.

Beliau juga sedia maklum dengan pemilihan berita yang dilaporkan pihak antarabangsa di Malaysia yang termasuk 1MDB, undang-undang berita palsu, persempadanan semula, unsur perkauman dalam pilihan raya dan penindasan hak asasi manusia.

Katanya kerajaan juga sedar tugas media namun berharap agar kerajaan turut diberikan peluang untuk berkongsikan pandangan bagi memastikan laporan yang adil mengenai isu yang berbangkit. – 26 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen