Tiada paksaan dalam keimanan


Mohd Syazreen Abdullah

Seorang yang beriman tidak akan mendorong keimanannya kepada ikut-ikutan ataupun berpegang dengan taklid buta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai 2023.

BERKATA Nun al-Misri, seorang tokoh sufi awal: “Aku mengenal Tuhanku melalui Tuhanku sendiri. Jika bukan kerana Tuhanku, aku tidak akan mengenal Tuhanku.”

Ungkapan ini disebutkan dalam The Study Quran, Hossein Nasr pada tafsiran ayat 100 surah Yunus bahawa keimanan sempurna itu datang dengan kefahaman keizinan-Nya untuk mengenal-Nya.

Iman sejati bukanlah hasil sumber kekuatan atau usaha manusia semata-mata, melainkan limpahan anugerah daripada Allah yang Dia berikan kepada siapa yang Dia pilih. Justeru, iman sempurna bukan dengan paksaan. Bahkan iman tidak boleh memaksa dan dipaksa-paksakan kepada sesiapa pun.

Kembali kepada tokoh sufi, Nun al-Misri bahawa disebalik namanya itu mempunyai kerahsiaan iaitu Nun, menurut Ibnu Arabi, sebagai simbol pintu menuju penerimaan taubat, kemurahan, belas kasih-Nya. Dan sedikit orang sahaja layak menerima keizinan-Nya dalam mengenal-Nya.

Hal ini sebagaimana diungkapkan oleh tokoh sufi ini: “Aku mengenal Tuhanku melalui Tuhanku sendiri. Jika bukan kerana Tuhanku, aku tidak akan mengenal Tuhanku.” Atau “berpegang teguh pada pintu Tuhan sehingga Tuhan menerima-Ku.”

Inilah yang ditafsirkan iman yang murni dan mengerti dalam memahami wujud-Nya dengan melalui jalan pilihannya sendiri. Bukan paksaan atau ditentukan sesiapa.

Sebaliknya, iman yang muncul dari pemaksaan tidak akan memiliki keberartian. Ia tidak sama sekali dengan iman yang tulus datang dari pilihan bebas seseorang yang jujur mencari pengetahuan tentang Tuhan secara mendalam.

Walhasil, paksaan iman ke atas seseorang tidak akan mendatangkan kebaikan melainkan kekecewaan. Bayangkan betapa kecewanya hati para nabi dalam misi berdakwah sekiranya tiada orang mahu mengikuti risalahnya. Hakikatnya pemberi cahaya iman itu bukan nabi. Tetapi Tuhan satu-satunya.

Walaupun risalah nabi, ia tidak boleh menjamin orang harus dipaksa mengikuti dakwahnya. Nabi sendiri tidak boleh menentukan pilihan jalan iman seseorang.

Ini terbukti bapa saudara Nabi sendiri, Abu Thalib tidak mahu mengikutinya. Bahkan menentang lagi dakwah baginda.

Demikian, Allah Yang Maha berkuasa segalanya. Dia berkuasa memberi pilihan kebebasan kepada manusia untuk selesa memilih jalan keimanan mereka sendiri dalam mencari-Nya. Maka, Allah tidak memaksa semua orang untuk beriman.

Para ahli teologi membahas sesungguhnya Allah berkuasa dan boleh sahaja untuk memudahkan kerja Nabi dengan hanya memaksakan semua manusia menjadi beriman. Tetapi tidak.

Sebaliknya Tuhan memberi kebebasan sepenuhnya kepada manusia untuk melakukan pilihannya masing-masing. Demikian, kebebasan iman diberikan seluas-luasnya seperti disebutkan Quran pada surah Yunus ayat 99-100.

Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya. Dan tidak ada seorang pun akan beriman kecuali dengan izin Allah; dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak mempergunakan akalnya.

Dan kerana itu, iman milik Tuhan sepenuhnya. Dia yang memberi panduan melalui jalan mencari-Nya. Banyak orang hari ini menyangkakan bahawa iman boleh ditentukan oleh paksaan manusia, mazhabnya, identitinya, agamanya, partinya dan lain-lain.

Lebih daripada itu, sehingga sanggup melakukan kekerasan dalam memaksa orang mengikuti apa yang ia percayai dan imani. Dalam sejarah agama-agama, kefahaman dan perlakuan sempit itu semuanya akan berlalu dengan pengakhiran tragedi darah, perpecahan, perperangan dan sikap antitoleransi dalam beragama. Di sini lah hikmah dan pentingnya dalam soal menghormati pilihan keimanan masing-masing.

Menggunakan kekerasan atau paksaan bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri. Allah memiliki kekuasaan untuk membuka hati sesiapa pun untuk beriman, tetapi kita harus bersepakati bahawa apa-apa pun datangnya kebebasan diberi, ia harus mempunyai sikap tanggungjawab dalam menyampaikan sesuatu maklumat dan risalah dengan cara baik.

Justeru, bagaimanakah kita boleh menyifatkan iman itu murni seandainya ia datang dari paksaan, bukan lubuk sanubari keyakinan yang benar?

Maka dalam surah Yunus di ayat 99, tidak terhenti dengan kebebasan pilihan masing-masing pada soal iman, tetapi pada ayat seterusnya, Allah menyebutkan hakikat iman terjadi dengan izin Allah melalui peranan memanfaatkan fungsi akal.

Seorang yang beriman tidak akan mendorong keimanannya kepada ikut-ikutan ataupun berpegang dengan taklid buta. Islam agama bersandarkan hujah burhani dalam menyatakan kebenaran.

Dan semua itu didorong oleh cahaya kefahaman dan pengetahuan-Nya daripada izin-Nya. Dalam perspektif Islam, keberkatan iman bergantung pada izin Allah untuk mendapatkan pengetahuan tentang-Nya kepada hamba-hamba-Nya – petunjuk dan panduan kebenaran.

Justeru, setiap hamba-Nya harus bersikap rendah hati (tawadduk) dalam mencari (sidq) pada kebenaran dengan penuh kesungguhan (ikhlas).

Sekali lagi, makrifat Tuhan dan kemampuan mengenal-Nya adalah anugerah yang paling agung diberikan oleh Allah kepada sesiapa yang mencari cahaya-Nya.

Ini menegaskan bahawa iman sejati bukanlah hasil daripada sangkaan dan paksaan manusia semata, melainkan sebuah hadiah Allah kepada mujahadah seseorang itu yang berperanan sebagai perantara-Nya dalam menerangi alam sekali gus membuka segala pintu kemanusian serta kebaikan.

Begitulah, iman bukan barang dagangan. Bukan sesuatu boleh dijual beli sesuka hati. Ia tidak boleh diukur dengan kekayaan sekalipun. Hatta diwarisi. Justeru, iman tidak boleh dipaksa dan diaturkan dengan kekayaan wang ringgit.

Meskipun memiliki segala kekayaan di atas muka bumi ini, hakikatnya kita tidak dapat kecapi iman dengan kekayaan tersebut.

Malah, orang kaya pada hari ini boleh sahaja menunaikan berpuluh-puluh kali ibadah haji sekalipun dan mendakwa sebagai tetamu Allah, tetapi persoalannya bahawa siapakah kita boleh katakan begitu kerana tiada siapa pun tahu bahawa dikatakan sebenar-benarnya tetamu Allah yang dibukakan pintu oleh izin-Nya?

Malangnya, banyak orang hari ini bermudah-mudahan terhadap pelaksanaan amalan agama dan iman sehingga merasakan diri sudah layak disebut orang-orang beriman. Berasa lebih suci dan terpaling Islamik berbanding orang-orang lain.

Apakah mereka sangka boleh lakukan apa sahaja dengan wang ringgit untuk memanifestasikan dirinya sebagai beriman?

Tetapi, iman bukan begitu. Segala tindak laku keimanan itu ada petunjuk-Nya. Setiap tindak laku dan pergerakan kita disuluh petunjuk cahaya.

Buatlah sebanyak mana amal ibadah sekalipun, akhirnya yang Maha membuka pintu hakikat keimanan tu adalah atas izin Allah. Tidak semua yang kita sangkakan amal ibadah kita lakukan itu membawa kepada kesempurnaan yang benar-benar.

Justeru janganlah kita seolah mahu mendabik dada, berasa paling beriman, dan mengunci kebenaran itu seolah ia milik kita satu-satunya.

Di situlah bahawa Tuhan tidak akan menghalang perbuatan amal ibadah kerana itu pilihan masing-masing tetapi Tuhan Maha Tahu segalanya tentang perbuatan amalan tersebut, sekali gus Dia yang memilih kesempurnaan iman yang benar-benar ikhlas dalam memahami-Nya.

Demikian ibadah dan pencarian kebenaran kerana Allah, tanpa motif yang bercampur aduk pujian atau penghargaan manusia.

Nun al-Misri menekankan bahawa ketulusan beribadah dan pencarian spiritual adalah kunci untuk mencapai kedekatan dengan Tuhan sekali gus memperoleh pemahaman sempurna sebatas makhluk tentang-Nya.

Dan semua itu bermula dengan dorongan kebebasan dan bukan paksaan. – 7 Julai 2023.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen