Apa yang ada dengan Muda solo?


Fakhrurrazi Rashid

Muda boleh menjadi tempat menarik pengundi yang kecewa dengan kerajaan perpaduan dan PN dalam PRN sekiranya mereka bijak bermain sentimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai, 2023.

“JIKA kamu bertanding solo dan menang beberapa kerusi, apa kamu boleh buat?” Itu soalan yang pernak diutarakan Dr Mahathir Mohamad.

Ini soalan paling tepat untuk melihat pendirian Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertanding kendiri atau solo dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Selain itu, Mahathir menyatakan keputusan Muda ini “sia-sia” kerana tidak boleh membentuk kerajaan.

Mungkin ini teguran suci yang realistik daripada Mahathir kerana partinya dulu juga lingkup habis dan hilang deposit dalam PRN Johor dan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dek kerana Perikatan Nasional (PN).

Dari sisi yang lain, ada juga pemimpin parti kerajaan cuba memujuk Muda untuk mengkaji semula pendirianya itu seperti Shamsul Iskandar, setiausaha politik perdana menteri dan Lim Kit Siang, veteran DAP. Yang lain hanya mengkritik Muda bertubi-tubi.

Pendirian Muda kali ini sebenarnya betul, cuma dari sudut konteks masanya tidak berapa tepat. Jika dibuat pendirian ini lebih awal iaitu sebelum PRN akan berlangsung, sudah pasti ia dapat mengutip beberapa sokongan menuju PRN.

Kalau Muda bijak bermain sentimen mereka boleh menjadi tempat menarik pengundi yang kecewa dengan kerajaan perpaduan dan PN dalam PRN. 

Muda boleh menjadi pilihan ideal bagi pengundi yang muak dengan perkembangan politik semasa ini.

Malangnya, pendirian kali ini agak kekok kerana Muda terpaksa bertarung dengan gabungan parti kerajaan perpaduan yang lain.

Ia seperti Barisan Nasional (BN) bertarung dengan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Johor dan Melaka sebelum ini tetapi masih berpelukan kuasa di peringkat pusat.

Kelebihan Muda

Walau apa pun, keputusan Muda adalah tindakan kolektifnya sendiri. Baik dan buruk impaknya nanti harus dipikul Muda sendiri. Asas ini setidak-tidaknya perlu dihormati di ruang politik.

Boleh difahami, pendirian ini terbentuk atas kekecewaan Muda dalam banyak hal dengan kerajaan perpaduan. 
Pertama, sikap sambil lewa PH dalam membincangkan penyertaan Muda dalam PH. Kedua, suara Muda dipinggirkan kerajaan hari ini dalam isu dasar mahupun keputusan politik.

Di sebalik kekecewaan ini, Muda mempunyai kekuatan tersendiri yang kian mendapat tempat dalam kalangan rakyat, khasnya belia.

Pertama, Muda konsisten dalam mengangkat perbincangan dasar awam. Komitmen seperti menekankan dasar bayaran pelatih (internship) buat graduan muda di sektor awam dan swasta mendapat perhatian belia.

Begitu juga dengan isu-isu ekonomi rakyat yang digarap Muda dalam penyampaian media sosial.

Malah, perjuangan Muda  dalam isu internship ini disambut Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menyatakan “Bayaran yang terlalu rendah oleh majikan terhadap pelajar yang sedang menjalani latihan industri atau internship’dianggap tidak munasabah”.

Selepas itu, barulah sayap pemuda parti terhegeh-hegeh memfokuskan isu ini setelah ia dipelopori Muda.

Kedua, Muda aktif menganjurkan program latihan mengetengahkan bakat pemimpin belia sama ada melalui parti atau pertubuhan. 

Ini dapat dilihat daripada program Women in Power yang dikepalai oleh Timbalan Presiden Muda Amira Aisyah.

Program ini dapat mengasah pemimpin wanita muda dalam menyuarakan isu-isu wanita kontemporari seperti pekerjaan, kebajikan, dan hak kewanitaan.

Perkara ini hampir lesu dan tidak berjalan dalam sayap pemuda parti kerajaan perpaduan mahupun Perikatan Nasional (PN).

Terdapat segelintir pihak silap menghitung perkembangan Muda. Kanta politik ala-ala 90-an digunakan untuk memburukkan parti baru ini dan personaliti pemimpinnya.

Faktanya, Muda adalah sebuah parti politik, bukan sayap pemuda seperti yang dilihat parti-parti lain.

Sikap egoistik sesetengah pihak ini agak janggal, khususnya dalam PH yang pada asasnya berjiwa besar dalam membentuk kerjasama politik.

Mereka harusnya sedar bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) pernah tinggal satu kerusi di Dewan Rakyat pada PRU 2004. 

BN ketika itu menggelar PKR sebagai parti nyamuk dan satu kerusi itu simbol batu nisan buat PKR.

Tetapi, atas gelombang kuasa rakyat sejak tahun 2008 dan kerjasama rakan gabungan seperti DAP dan PAS menyebabkan PKR mampu memenangi kerusi yang lebih banyak dan membentuk kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan. Malah, parti itu sekarang adalah parti perdana menteri.

Kata kuncinya di sini adalah kuasa rakyat. Berdiri PH hari ini atas dasar gelombang rakyat yang lebih ramai daripada ahli akar umbi.

Jika suatu ketika dahulu PAS dan DAP boleh menerima parti satu kerusi seperti PKR, mengapa tidak dengan Muda?

Muda akan U-turn?

Muda ada asas prinsipnya yang bermaruah. Meskipun ada satu kerusi di Dewan Rakyat, Muda mengambil langkah bijak dengan mengeratkan kerjasama dengan PH sebelum dan selepas PRU 15.

Ia berbeza dengan parti yang ada satu kerusi seperti Parti Bangsa Malaysia (PBM), yang terang-terang menyokong PN dan mahu menyertai BN sebelum PRU15, tetapi wakil rakyatnya diberikan tempat dalam kerajaan perpaduan.

Muda tidak rugi jika bertanding solo. Pengalaman ini akan mendewasakan siasah politik Muda yang tersepit dengan percaturan politik lapuk. 

Jika tewas sekalipun, Muda ada ruang untuk membina kapasiti yang kukuh untuk tempoh jangka panjang.

Cuma, saya skeptik dengan pendirian Muda bertanding solo. Bukan apa, Muda pernah membuat pendirian flip-flop untuk berkecuali dalam PRN Melaka pada tahun 2021 setelah rundingan kerusi dengan PH gagal.

Kali ini, Muda harus berani melawan arus dan harap tidak ada U-turn di saat-saat akhir nanti.  Jika tidak, maka ia hanyalah gimik politik murahan daripada Muda sahaja.

Lebih menjengkelkan lagi apabila Muda berhasrat bekerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk enam PRN ini.

Persoalannya, adakah PSM dapat berkompromi dengan ideologinya yang kritikal dengan pasaran bebas dan anti cukong bersama Muda. 

Atau, adakah ini hanyalah pakatan emosi kerana semua tidak berpuas hati dengan musuh politik semata-mata?

Pelik bin ajaib. Muda yang lebih baik prestasinya dalam pilihan raya, terpaksa memilih PSM untuk menang beberapa kerusi dalam PRN? Tidak kena dengan cara.

Lebih baik jalan tegak dan pergi solo. Soalan yang paling penting, apa pendirian Muda selepas PRN nanti dalam kerajaan perpaduan? – 5 Julai, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen