2 lagi jemaah haji negara meninggal dunia


Seramai 13,219 jemaah haji Malaysia atau 56% sudah meninggalkan Mina pada Jumaat selepas melakukan nafar awal. – Gambar EPA, 2 Julai, 2023.

DUA jemaah haji lelaki meninggal dunia Jumaat lepas (30 Jun), menjadikan keseluruhan empat jemaah haji negara meninggal dunia setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Mohd Na’im Mokhtar berkata kematian lelaki berusia 72 dan 60 tahun itu masing-masing disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru serta serangan angin ahmar dan kegagalan jantung.

“Kedua-dua jemaah haji ini antara tiga orang yang tidak dibawa ke Arafah untuk berwuquf kerana berada di dalam keadaan koma di hospital Arab Saudi,” katanya dalam sidang media di Mekah.

Beliau turut memaklumkan 95 jemaah haji berada di pusat rawatan Tabung Haji (TH) Makkah dan 15 lagi di hospital Arab Saudi.

Sementara itu, Na’im berkata operasi Masyair yang merupakan kemuncak ibadah haji, berakhir secara rasmi setelah kesemua jemaah Malaysia yang berada di Mina sudah kembali semula ke Mekah.

Beliau berkata 13,219 jemaah haji atau 56% sudah meninggalkan Mina pada Jumaat selepas melakukan nafar awal, manakala selebihnya bergerak balik ke Mekah bermula 6.23 pagi semalam setelah melaksanakan nafar thani.

Katanya jemaah haji negara akan mula berangkat pulang ke tanah air Rabu ini (5 Julai) dan penerbangan akhir dijangkakan pada 31 Julai melibatkan keseluruhan 98 penerbangan. – Bernama, 2 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen