Lebih 2,000 jemaah haji alami stres haba


Lebih 1.8 juta jemaah Islam menunaikan haji selama beberapa hari, yang kebanyakannya terdiri daripada warga emas selepas had umur maksimum era Covid dibatalkan. – Gambar AFP, 30 Jun, 2023.

LEBIH 2,000 orang mengalami stres haba semasa menunaikan haji, kata pegawai Arab Saudi semalam, selepas suhu meningkat kepada 48 darjah Celsius semasa menunaikan ibadah itu.

Lebih 1.8 juta jemaah Islam menunaikan haji selama beberapa hari, kebanyakannya diadakan di kawasan luar pada kemuncak musim panas padang pasir Arab Saudi. Ramai warga emas adalah antara jemaah haji selepas had umur maksimum era Covid dibatalkan.

Pegawai Arab Saudi berkata kira-kira 1,700 kes stres haba direkodkan semalam, tambahan kepada 287 orang yang dilaporkan sebelum ini.

“Jumlah kes tekanan haba sejak awal hari ini mencecah 1,721 orang,” kata Kementerian Kesihatan Arab Saudi, menggesa orang ramai menjauhi cuaca panas dan minum banyak air.

Pegawai tidak memberikan angka kematian tetapi sekurang-kurangnya 230 orang – kebanyakannya dari Indonesia – meninggal dunia semasa menunaikan haji, menurut jumlah yang diumumkan oleh pelbagai negara yang tidak menyenaraikan punca kematian.

Menurut Konsul Jeneral Indonesia, negara Islam terbesar di dunia, sekurang-kurangnya 209 warga Indonesia meninggal dunia semasa menunaikan haji.

“Adalah tidak tepat mengatakan ramai jemaah haji Indonesia meninggal dunia kerana strok haba,” kata Eko Hartono, sambil menambah punca kematian kebanyakannya disebabkan oleh penyakit jantung dan pernafasan.

Tetapi beliau mengakui beberapa jemaah haji “pengsan” semasa menunaikan haji selama beberapa hari “kerana panas”.

Jemaah haji tertua Iran tahun ini, berusia 114 tahun, meninggal dunia akibat serangan jantung, kata agensi berita separuh rasmi Fars, melaporkan 10 kematian warga Iran.

Lapan warga Algeria dan empat warga Maghribi meninggal dunia, kata pegawai, manakala media pro-kerajaan Mesir berkata lapan jemaah haji dari negara itu terkorban. – AFP, 30 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen