Ditahan bawa 3 kelopak peluru, veteran Navy Seal AS dibebas dengan jaminan polis


Alfian Z.M. Tahir

Ryan yang ingin pulang ke Las Vegas dilaporkan ditahan di KLIA kerana membawa tiga kelopak peluru kosong. – Gambar Instagram, 1 Julai, 2023.

VETERAN Navy Seal Ryan Bates yang ditahan ketika mahu meninggalkan negara ini kerana membawa peluru kosong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata meskipun dibebaskan namun Ryan tidak dibenar meninggalkan negara ini sementara siasatan dilengkapkan dan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Suspek diberi jamin polis namun tidak dibenarkan ke luar negara. Kami sudah kemukakan kertas siasatan kepada AGC,” katanya ketika dihubungi.

Rakyat Amerika Syarikat (AS) itu disiasat di bawah Seksyenn 8 Akta Senjata Api 1960 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun, denda tidak lebih RM10,000 atau keduanya sekali.

Sebelum ini Ryan, 43 yang ingin pulang ke Las Vegas dilaporkan ditahan di KLIA kerana membawa tiga kelopak peluru kosong di bagasinya.

Katanya, barang itu digunakan dalam penggambaran siri Netflix berjudul ‘The World’s Toughest Forces in Malaysia’ tentang pasukan elit negara, Gerak Khas, lapor portal 3News, hari ini.

Isterinya, Diana Dahlgren Bates memuat naik video di akaun Instagram meminta bantuan Kedutaan AS.

Sementara itu, semakan pada akaun Instagram Ryan menunjukkan video terakhir yang dimuat naik ketika pihak berkuasa di KLIA sedang mencari tahu barangan yang dibawa dalam begnya.

Dalam video berikutnya, dia memberitahu keadaan kelihat tidak begitu baik malah dia turut berkongsi video bersama tiga kelopak peluru itu dalam sebuah bilik dengan enam pegawai. – 1 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen