AMERIKA Syarikat (AS) mungkin tidak akan dapat sediakan Ukraine dengan jenis peluru tertentu untuk Kyiv menentang pencerobohan Rusia, berikutan bekalan hampir habis digunakan.
Washington merupakan pembekal senjata terbesar ke Ukraine sejak Rusia melancarkan operasi ketenteraan pada 24 Februari, dengan lebih AS$16.8 bilion bantuan ketenteraan diberikan sejak itu.
Namun stok beberapa peralatan AS “mencapai tahap minimum yang diperlukan untuk rancangan perang dan latihan,” selain penyimpanan semula ke tahap pra-pencerobohan boleh mengambil masa bertahun-tahun, kata Mark Cancian dari Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa dalam analisisnya baru-baru ini.
Washington “dapat pengajaran” daripada konflik mengenai pentingnya keperluan peluru dalam perang kuasa besar, yang “jauh lebih besar” berbanding jangkaan, kata seorang pegawai tentera AS yang tidak mahu namanya disiarkan.
Firma pertahanan AS terpaksa mengurangkan pengeluaran secara drastik pada 1990-an apabila Amerika Syarikat mengurangkan perbelanjaan pertahanan berikutan kejatuhan Kesatuan Soviet, dan bilangannya turun secara mendadak, daripada berpuluh-puluh kepada satu digit.
Kini, kerajaan AS perlu meyakinkan industri untuk membuka semula barisan pemasangan dan melancarkan semula pengeluaran barangan seperti peluru berpandu antipesawat Stinger, yang sudah terhenti sejak 2020.
Beberapa peralatan yang disediakan AS telah menjadi lambang perang di Ukraine, seperti senjata antikereta kebal Javelin yang digunakan secara meluas oleh tentera Kyiv untuk menumpulkan kemaraan Rusia di ibu negara, dan Himars, sistem roket berketepatan tinggi yang kini memainkan peranan penting dalam serangan balas terhadap tentera Moscow di timur dan selatan. – AFP, 8 Oktober, 2022.
Komen