DUN 3 negeri bubar esok, hanya Negeri Sembilan belum umum


Pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun 2023.

BAHANG pilihan raya negeri (PRN) semakin hangat selepas Pulau Pinang dan Terengganu hari ini masing-masing mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan esok.

Kelantan menjadi negeri pertama dibubarkan pada 22 Jun, diikuti Selangor sehari selepas itu. Tiga DUN akan dibubarkan esok iaitu Pulau Pinang, Terengganu dan Kedah, manakala Negeri Sembilan negeri tunggal yang masih belum mengumumkan pembubaran secara rasmi.

Pembubaran 40 kerusi DUN Pulau Pinang seperti diumumkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow pagi ini, dibuat 35 hari lebih awal berbanding mandat lima tahun yang sepatutnya berakhir 2 Ogos ini.

Kedudukan terkini kerusi DUN Pulau Pinang sehingga pengumuman pembubaran ialah Pakatan Harapan (PH) memiliki 33 kerusi, Barisan Nasional (BN) (2), Bersatu (4) dan PAS satu kerusi.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini mengumumkan pembubaran 32 kerusi DUN berkuat kuasa esok, dua hari lebih awal daripada tempoh mandat 30 Jun (Jumaat) ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PAS kembali merampas pemerintahan negeri daripada BN, selepas berjaya memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN, manakala BN hanya memperoleh 10 kerusi.

Dalam pada itu, pembubaran DUN Kedah esok dengan 36 kerusi dibuat lebih awal daripada mandat lima tahun yang sepatutnya berakhir pada 4 Julai ini.

Komposisi DUN Kedah diterajui Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sehingga pembubaran DUN menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menguasai 20 kerusi terdiri daripada PAS (14) dan Bersatu (6), manakala PH (10) manakala BN dan Pejuang masing-masing dua kerusi.

Dua lagi kerusi kosong selepas Adun Gurun Johari Abdul dari PKR mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lepas, selepas dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, sementara Adun Belantek Mohd Isa Shafie dari PAS meninggal dunia pada 14 Jun lepas.

Kelantan menjadi negeri terawal membubarkan DUN iaitu pada 22 Jun lalu, yang menyaksikan ia dilakukan enam hari lebih awal berbanding tempoh mandat yang akan berakhir esok.

Pada PRU14, PAS yang memerintah Kelantan sejak 1990 mengekalkan pentadbiran setelah memenangi 37 daripada 45 kerusi DUN, sementara BN memperoleh lapan.

Bagaimanapun, Adun Ayer Lanas Mustapa Mohamed keluar daripada Umno pada 18 September 2018, sebelum menyertai Bersatu pada 26 Oktober tahun yang sama.

Sehari selepas Kelantan, DUN Selangor dibubarkan secara rasmi pada 23 Jun iaitu dua hari lebih awal daripada tempoh mandat, selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 19 Jun lalu.

Komposisi DUN Selangor sehingga pembubaran terdiri PH (40), BN (5), Bersatu (4), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (2) manakala PAS, Pejuang, Warisan dan Bebas masing-masing satu kerusi. Sementara satu kerusi iaitu DUN Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.

Kini, hanya Negeri Sembilan yang belum mengumumkan secara rasmi tarikh pembubaran DUN, namun Menteri Besar Aminuddin Harun pada 7 Jun lalu berkata pembubaran akan dibuat pada 30 Jun, iaitu hari terakhir tempoh mandat lima tahun.

Beliau dijadual menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir esok, bagi mendapat perkenan pembubaran 36 kerusi DUN terdiri daripada PH (20) manakala BN (16).

Tumpuan kini pastinya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN. – Bernama, 27 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen