MB menghadap Sultan Terengganu mohon perkenan bubar DUN


MB Ahmad Samsuri Mokhtar menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bagi memohon perkenan tarikh pembubaran DUN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2023.

MENTERI Besar Ahmad Samsuri Mokhtar menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pagi ini, bagi memohon perkenan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Samsuri yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu tiba di Istana Syarqiyyah di Kuala Terengganu, pada 8.38 pagi untuk sesi menghadap berkenaan.

Beliau sempat membuka cermin kereta dan melambai tangan ke arah pengamal media yang berkumpul di luar istana. 

Dijangka tiada sidang media khas mengenai pengumuman tarikh pembubaran DUN hari ini, sebaliknya menteri besar hanya akan mengeluarkan kenyataan bertulis setelah selesai sesi menghadap.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU), PAS mengambil alih pentadbiran kerajaan Terengganu daripada Barisan Nasional (BN) selepas memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN, manakala BN hanya memperoleh 10 kerusi.

Tempoh mandat bagi DUN Terengganu akan berakhir pada 30 Jun ini.

Terengganu antara enam negeri yang akan mengadakan PRN pada tahun ini selain Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

DUN Kelantan dibubarkan pada 22 Jun manakala DUN Selangor sehari selepas itu.

DUN Kedah dan Pulau Pinang masing-masing akan dibubarkan esok manakala DUN Negeri Sembilan dijangka dibubarkan pada 30 Jun. – Bernama, 27 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen