DUN Pulau Pinang bubar esok


Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata sudah mendapat persetujuan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang untuk membubarkan DUN esok. – Gambar Facebook, 27 Jun, 2023.

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan dibubarkan esok bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata tarikh itu dicadangkan dan mendapat persetujuan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Ahmad Fuzi Abdul Razak pagi tadi.

“Pada pagi ini saya mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri untuk menandatangani proklamasi untuk membubarkan DUN Pulau Pinang bagi memberi ruang PRN yang akan ditetapkan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) setelah semua negeri dibubarkan dewan masing-masing.

“Saya lega perkara ini sudah berakhir, jadi kini kita boleh bersiap sedia untuk pilihan raya negeri. Tarikhnya akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya kepada pemberita selepas menghadap Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Seri Mutiara, di Georgetown, hari ini.

Terdahulu, Chow tiba di Seri Mutiara, pada 7.55 pagi untuk menghadap Ahmad Fuzi bagi memohon persetujuan untuk pembubaran DUN Pulau Pinang.

Chow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang dijadual akan mengadakan sidang media yang turut dihadiri semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada 2.30 petang ini.

Persidangan DUN Pulau Pinang yang pertama diadakan pada 1 Ogos 2018, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 dan mandat lima tahun sepatutnya berakhir 2 Ogos ini.

Pada PRU14, PH memenangi 37 daripada keseluruhan 40 kerusi, termasuk dua daripada calon Bersatu yang ketika itu masih bersama PH, manakala Barisan Nasional (BN) memenangi dua kerusi dan PAS (satu).

Pada Februari 2020, Bersatu mengumumkan keluar daripada PH dan menyertai Perikatan Nasional (PN) yang menyebabkan dua Adun Bersatu Pulau Pinang, Adun Bertam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Adun Teluk Bahang Zolkifli Md Lazim, menarik balik sokongan mereka terhadap pentadbiran kerajaan negeri di bawah PH.

Sementara pergolakan dalam parti PKR turut menyaksikan dua Adun daripada parti itu dipecat iaitu Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin dan Adun Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim.

Kedudukan terkini kerusi sebelum DUN Pulau Pinang dibubarkan ialah PH memiliki 33 kerusi, BN (dua), Bersatu (empat) dan PAS satu kerusi. – Bernama, 27 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen