Ahli PAS jangan takut ubah undi, kata Mat Sabu


Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika berucap pada program 'Jelajah Mega Madani Negeri Selangor' di Shah Alam, malam tadi. – Gambar Facebook, 25 Jun 2023.

FATWA politik PAS sentiasa berubah mengikut kesesuaian mereka, justeru ahli-ahlinya diseru supaya jangan takut untuk tidak mengundi parti Islam itu, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.

“Dahulu ketika saya menjadi timbalan presiden PAS, waktu itu kami menganut iaitu pangkah selain daripada PAS berdosa. PAS parti akidah.

“Tetapi kemudian berkawan dengan Umno, (tubuh) Muafakat Nasional, (PAS kata) berkawan dengan Umno adalah satu anugerah Allah. Berubah dah.

“(PAS kata) DAP komunis, DAP jahat. Tahun 2008, 2013 tahaluf siasi dengan DAP. Ertinya DAP baik pula. Pergi ke Teluk Intan, presiden PAS kempen untuk calon DAP habis-habisan.

“Ertinya akidah politik dia (PAS) berubah. Sebab itulah ahli-ahli PAS yang mendengar malam ini melalui live telecast jangan takut untuk ubah undi,” katanya ketika berucap pada program ‘Jelajah Mega Madani Negeri Selangor’ di Shah Alam, malam tadi.

Mohamad atau lebih dikenali seagai Mat Sabu seterusnya menggesa pengundi menoktahkan isu agama dan perkauman sempit sering dimainkan PAS.

“Bagi kita tuduhan-tuduhan yang mengata Islam terancam, ada pula kata Pulau Pinang macam Israel.

“Yang itu paling jahat. Berapa orang dah, orang Melayu, Islam dibunuh di Pulau Pinang? Ada atau tidak?

“Tapi celupar mulut celaka-celaka mulut ini sentiasa memainkan isu perkauman seperti itu. Hadirin sekalian, kita noktahkan isu perkauman ini, boleh ke tidak?” katanya. – 25 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen