PKR pertimbang teruskan tindakan undang-undang terhadap bekas ahli khianat parti


PKR mungkin mempertimbangkan untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap beberapa bekas ahlinya yang mengkhianati parti sebelum ini, kata Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil.

Beliau berkata perkara ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang memerintahkan bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin membayar RM10 juta kepada parti berkenaan kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

“Dalam Mesyuarat Pimpinan Pusat PKR akan datang mungkin ada perbincangan di mana tindakan terhadap Zuraida telah diambil dan ada keputusan sebegini… bukan beliau sahaja yang melompat parti pada waktu itu tetapi ada sejumlah yang lain.

“Maka PKR mungkin meneruskan tindakan undang-undang kepada mereka yang mengkhianati parti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Parlimen Lembah Pantai di Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim Akhtar Tahir membenarkan saman PKR itu selepas mendapati bon tersebut merupakan kontrak yang sah dan mengikat malah mahkamah juga memerintahkan Zuraida untuk membayar kos RM50,000.

Mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Fahmi yang juga menteri komunikasi dan digital berkata ia juga membuktikan pendirian PKR yang tindakan lompat parti adalah tidak berprinsip walaupun Zuraida melanggar kontrak itu semasa negara belum melaksanakan Akta Anti Lompat Parti.

“Sebab itu PKR mengenakan bon kepada beliau (Zuraida) dan kepada semua yang bertanding (pilihan raya) atas tiket PKR,” kata beliau dan mengingatkan semua ahli PKR supaya tidak sesekali mengkhianati parti itu.

Pada Februari 2020, seramai 11 ahli Parlimen mewakili PKR termasuk Zuraida mengisytiharkan keluar parti serta Pakatan Harapan (PH) dan antara yang turut keluar ialah bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Sementara itu, mengenai Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM itu, Fahmi berkata seramai 34 pelajar kawasan Parlimen Lembah Pantai menerima sumbangan wang tunai sebagai tanda memberi semangat setelah mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tahun lepas.

“Ini adalah sebahagian usaha saya sebagai ahli Parlimen untuk membantu mereka yang ramai daripada keluarga B40 dan M40 dengan harapan anak-anak ini dapat meneruskan pelajaran.

“Semoga mereka juga dapat mendampingi dan mempelajari pelbagai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan dan mengikuti trend terkini supaya mereka bersedia untuk memasuki alam pekerjaan nanti,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu. – Bernama, 23 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen