RUMAH kebajikan dan pusat jagaan warga emas sedang bergelut untuk terus bertahan ketika mereka cuba menangani peningkatan kos sara hidup.
Rumah orang tua milik persendirian memberitahu The Malaysian Insight yang mereka sukar mencari penderma dan berharap ia tidak akan ditutup susulan masalah kewangan.
Jeu Ning, yang menguruskan Pusat Kebajikan Orang Kurang Upaya Yu Shan di Johor Baru, mengakui sukar mendapatkan bantuan kewangan pada masa kini, memandangkan keadaan ekonomi.
“Adakalanya kami tidak mencapai sasaran bulanan kerana sumbangan semakin berkurangan dan sejak kebelakangan ini kita boleh lihat jumlah pelawat dan penderma semakin berkurangan.
“Kami mempunyai jawatankuasa yang ahlinya membantu membiayai komitmen bulanan pusat menggunakan wang dari poket mereka sendiri,” kata Jue Ning kepada The Malaysian Insight.
Jue Ning, yang sudah empat tahun bekerja di pusat itu berkata perbelanjaan bulanan meningkat hampir 10%, yang baginya besar memandangkan pusat itu menawarkan perkhidmatan secara percuma.
“Kami bergantung kepada sumbangan, sama ada wang atau barangan.
“Sebelum ini, perbelanjaan bulanan kira-kira RM25,000 sebulan tetapi kini sekitar RM28,000,” kata penjaga berusia 40 tahun itu.
Ditubuhkan pada 2018, pusat kebajikan itu kini mempunyai seramai 25 individu kurang upaya yang terdiri daripada 16 lelaki dan sembilan perempuan.
Paling muda di pusat itu berumur lima tahun, manakala yang paling tua berusia 52 tahun.
Jue Ning berkata pusat itu juga menghantar wakil untuk menghadiri majlis makan malam amal di mana mereka akan diberi sedikit bantuan kewangan.
“Walaupun orang tidak mahu menderma dari segi wang, kami menerima barangan makanan, barangan runcit, lampin pakai buang dan keperluan lain,” katanya.
Rakyat Malaysia berasai tekanan kenaikan harga dan ringgit yang semakin lemah. Selain inflasi dan peningkatan kos sara hidup, ramai juga yang terbeban dengan peningkatan kadar dasar semalaman, yang menyebabkan mereka membayar balik pinjaman yang lebih tinggi.
Sementara itu, Penyelaras Pertubuhan Kebajikan Orang Tua Wen Xin yang hanya mahu dikenali sebagai Lim berkata keadaan ekonomi semasa menjejaskan sumbangan untuk pusat itu.
“Kami terima apa sahaja yang diberi tetapi kami berasa jumlahnya sekarang sudah berkurangan, sama ada bantuan kewangan atau barangan,” katanya.
Menjaga 22 warga emas di pusat berusia enam tahun itu, Lim berkata menguruskan kewangan amat sukar memandangkan keadaan semasa.
“Kami sudah berjimat cermat. Kadang-kala kami beroperasi dengan sumbangan yang diberikan kepada kami pada bulan-bulan sebelumnya. Kami cuba menggunakannya sebaik mungkin,” kata Lim, yang berkhidmat dengan pusat itu sejak penubuhannya.
“Ada masanya, kami juga tida mengambil gaji kami kerana sedar keadaan yang sedang dihadapi,” tambahnya.
Lim berkata beberapa kuil Buddha akan membantu sumber kepada pembiaya.
“Ada kalanya, beberapa kuil Buddha yang biasa dengan kami, akan menggalakkan penganut agar berbuat amal kebajikan dengan menderma wang atau barangan kepada kami,” katanya.
“Beginilah kadang-kala kami mendapat sumbangan atau barangan daripada individu tidak dikenali, yang akan melawat kami.
“Kadang-kala kami mendapat barangan seperti lampin pakai buang, ubat-ubatan daripada mereka yang ahli keluarganya sudah meninggal dunia,” tambahnya.
Lim berkata mereka melakukan segala-galanya mengikut kemampuan yang boleh.
Beliau berharap orang ramai akan terus membantu mereka yang memerlukan, terutamanya rumah orang tua, tempat perlindungan yang sangat memerlukan bantuan. – 20 Jun, 2023.
Komen