Polis Australia akui guna senjata renjat terhadap wanita berusia 95 tahun


Seorang warga emas dilaporkan dalam keadaan kritikal selepas terkena senjata renjatan oleh polis Australia. – Gambar AFP, 19 Mei, 2023.

POLIS Australia mengesahkan pada Jumaat yang pegawainya menggunakan senjata renjat terhadap seorang wanita berusia 95 tahun di pusat jagaan warga emas yang menyebabkan mangsa dalam “keadaan kritikal” di hospital dengan kecederaan di kepala.

Pegawai dikerahkan ke kediaman itu pada Rabu selepas dimaklumkan wanita berkenaan “bersenjatakan pisau”, kata polis negeri New South Wales dalam satu kenyataan.

“Polis cuba bercakap dengan wanita itu,” kata mereka dalam satu kenyataan.

“Semasa berinteraksi, seorang konstabel kanan menggunakan tasernya, menyebabkan wanita itu terjatuh dan terhantuk kepalanya,” tambahnya.

“Status tugas pegawai itu dalam semakan.”

Ia adalah pengesahan pertama polis yang mereka menggunakan taser pada penduduk, yang dikenal pasti oleh media tempatan sebagai Clare Nowland, seorang nenek menghidap demensia.

Paramedik ambulans merawat wanita itu dan membawanya ke Hospital Daerah Cooma, di mana beliau berada dalam “keadaan kritikal”, kata polis.

Pada hari kejadian di Yallambee Lodge, polis hanya berkata beliau “mengalami kecederaan semasa interaksi dengan polis di kemudahan penjagaan warga tua”.

Satu pasukan termasuk pegawai skuad homisid membuka kertas siasatan insiden, yang akan termasuk “penggunaan taser” kata polis.

Siasatan tertakluk kepada semakan bebas.

Akhbar Daily Telegraph Sydney berkata Nowland, ibu kepada lapan anak, ditemui berjalan sambil memegang pisau ketika polis sampai. – AFP, 19 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen