Tindakan dahului sultan umum tarikh bubar DUN bertentangan adab, kata MB Selangor


MB Selangor Amirudin Shari berkata beliau diterima menghadap Sultan Sharafuddin bagi tujuan memohon perkenan baginda supaya DUN Selangor yang ke-14 dibubarkan pada 23 Jun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2023.

TINDAKAN pihak tertentu yang mendahului Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh dianggap bertentangan dengan adab orang Melayu terhadap sultan sebagai ketua negeri, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Beliau menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak wajar kerana kerajaan negeri mempunyai adat istiadat dan persetujuan secara kolektif dalam melaksanakan istiadat pembubaran dengan panduan daripada pihak istana.

“Kita mempunyai undang-undang, adat istiadat dan konvensyen yang harus kita tepati. Maka bagi saya adalah tidak wajar mana-mana pihak mendahului Sultan Selangor dalam mengumumkan tarikh pembubaran DUN Selangor.

“Ia dikira bertentangan dengan konvensyen, adat istiadat dan lebih lagi adab masyarakat Melayu dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor,” katanya dalam sidang media khas sempena lima tahun pentadbirannya di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam, hari ini.

Sebelum ini Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor Mohamed Azmin Ali dalam satu ceramah di Tanjong Karang dilaporkan berkata DUN negeri itu akan dibubarkan hari ini.

Sementara itu Amirudin berkata pagi tadi beliau diterima menghadap Sultan Sharafuddin bagi tujuan memohon perkenan baginda supaya DUN Selangor yang ke-14 dibubarkan pada 23 Jun ini.

“Pada pukul 10 pagi tadi, Sultan Selangor memberi perkenan dan menandatangani proklamasi pembubaran DUN Selangor ke-14 yang akan berkuat kuasa pada Jumaat 23 Jun ini selaras dengan Peruntukan dalam Fasal (2) Perkara LXX, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

“Ini akan membolehkan Speaker DUN Selangor memaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dijangka pada Jumaat ini, dan kemudianya memberi ruang kepada PRN Selangor diadakan,” katanya. – Bernama, 19 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen