Tawaran 4 pemimpin Pakatan disebut-sebut calon MB Perak kepada rakyat


Gan Pei Ling

EMPAT pemimpin Pakatan Harapan (PH) dikatakan calon utama jawatan menteri besar Perak sekiranya pengundi menyerahkan kembali negeri itu kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

Mereka ialah bekas Menteri Besar Perak Nizar Jamaluddin, Ketua Amanah Perak Asmuni Awi, Ketua Bersatu Perak Ahmad Faizal Azumu dan Ketua PKR Perak Dr Muhammad Nor Manuty.

Semua mereka yang bekerja dalam bidang profesional dan bekas penjawat awam itu merupakan anak jati Perak.

Nizar, seorang jurutera bertauliah adalah menteri besar Perak pertama daripada pembangkang apabila Pakatan Rakyat berjaya menakluk negeri itu pada 2008. Tetapi, Barisan Nasional mengambil alih kembali negeri setahun selepas itu susulah tiga wakil rakyat pembangkang yang berpaling tadah dan menjadi wakil rakyat bebas mesra BN.

Asmuni pula seorang peguam, Ahmad Faizal seorang ahli perniagaan dan Dr Muhammad adalah sarjana Islam.

Daripada mereka berempat, Ahmad Faizal adalah calon termuda, berusia 48 tahun. Tiga yang lain berusia dalam lingkungan 60-an, dengan Dr Muhammad adalah yang paling tua berusia 69 tahun.

Asmuni berkata tidak kira siapa yang akan dilantik menjadi menteri besar, individu itu menggalas tanggungjawab besar melunaskan janji manifesto PH kebangsaan dan negeri.

PH melancarkan manifesto kebangsaan awal bulan ini tetapi masih belum mengumumkan manifesto untuk Perak.

“Secara peribadinya, saya mahu lihat Perak kembali ke zaman gemilangnya. Ia adalah salah sebuah negeri membangun di Malaysia (kerana eksport bijih timah dan getah),” kata Asmuni.

Bekas Menteri Besar Perak yang disingkirkan, Nizar Jamaluddin memberikan penerangan paling terperinci mengenai usaha Pakatan Harapan jika beliau memimpin negeri itu sekali lagi termasuklah pembayaran royalti agensi persekutuan kepada negeri itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Mac, 2018.

Gabungan pembangkang itu dijangka akan menerima tentangan sengit di Perak tetapi yakin akan berjaya merampas negeri itu daripada BN sekali lagi. Mereka juga yakin kesan pengacau PAS akan berjaya ditangani.

PAS merupakan salah satu parti dalam gabungan PR pada 2008 dan bekas parti Nizar.

Pada Pilihan Raya Umum 2013, BN menang di Perak mengekalkan 31 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri tetapi kalah undi popular kepada PR.

Ikrar untuk bangunkan Perak

Setiap daripada mereka diminta The Malaysian Insight untuk menyatakan dasar yang akan mereka lakukan jika dilantik sebagai menteri besar.

Nizar, dengan pengalaman sebagai menteri besar walaupun sekejap memberikan jawapan paling terperinci.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering itu mengatakan PH perlu melakukan rundingan semula perjanjian sedia ada dengan beberapa agensi persekutuan seperti Felda, Felcra, Risda, Tenaga Nasional Bhd dan Plus Expressways Bhd untuk meningkatkan perolehan Perak dan menggunakan dana itu untuk menyediakan perkhidmatan sosial.

“Agensi itu diberikan banyak tanah oleh kerajaan negeri tanpa bayaran. Ini adalah bila mereka entiti awam. Sekarang mereka adalah syarikat yang buat untung.

“Mereka menggunakan tanah itu untuk buat banyak untung. Adillah jika mereka bayar royalti kepada negeri, kemudian kita boleh kembalikan balik kekayaan itu kepada orang Perak yang miskin,” kata Nizar yang merupakan timbalan pengerusi Amanah Perak.

Royalti itu kemudiannya boleh digunakan untuk subsidi pengangkutan awam untuk penduduk luar bandar untuk ke hospital, pusat dialisis di bandar, atau subsidi Pinjaman Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar Perak.

“Kita boleh berikan semua jenis perkhidmatan dan kemudahan awam seperti di Selangor dan Pulau Pinang sebaik sahaja kita naikkan pendapatan negeri,” katanya.

PH juga akan menghentikan amalan memberikan tanah kepada syarikat milik kerajaan negeri MB Incorporated untuk perlombongan pasir. Tanah itu boleh diubah kepada pusat industri berteknologi tinggi untuk menyediakan pekerjaan berupah tinggi kepada penduduk negeri, kata Nizar lagi.

Perak kini ditadbir kerajaan Barisan Nasional, dan Pakatan Harapan mahu merampasnya pada PRU14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Mac, 2018.

Asmuni mengatakan PH juga boleh mengubah bekas lombong bijih timah di negeri itu kepada ladang solar.

PH juga akan memastikan proses tender untuk konsensi pembalakan dibuat secara terbuka dan telus, tambah Nizar.

Beliau dan Asmuni turut bersetuju yang hutan di Perak mempunyai nilai kepelbagaian biologi yang besar dan perlu dipelihara.

“Kerajaan negeri perlu mengenalpasti dan mengazetkan hutan dara bernilai tinggi yang sensitif ini supaya tidak ada pihak sentuh (teroka),” kata Nizar.

Pakar alam sekitar sudah melobi lebih sedekad supaya BN menghentikan pembalakan di Hutan Simpan Temenggor berusia 130 juta tahun di utara Perak.

Ahmad Faizal daripada Bersatu pula mengatakan PH akan menambah baik kebajikan orang Perak dengan menangani isu perumahan mampu milik, pendidikan dan kesihatan.

“Kita perlu membina lebih banyak perumahan mampu milik untuk belia. Kita perlu tengok bagaimana kita boleh bantu kanak-kanak daripada keluarga memerlukan untuk dapat pendidikan lebih baik.

“Negeri juga perlu cari jalan sediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik walaupun ia sepatutnya diuruskan kerajaan persekutuan, kerana waktu menunggu di hospital awam terlalu lama. Orang tambah sakit ketika menunggu,” katanya.

Dr Muhammad bagaimanapun enggan menjelaskan apakah yang beliau akan lakukan kepada orang Perak jika dilantik jadi menteri besar.

“Saya percaya manifesto persekutuan dan negeri akan meraih sokongan kuat rakyat,” kata senator Dewan Rakyat itu. – 24 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen