
KERUSI marginal akan menentukan parti mana yang bakal menguasai Perak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan perhatian pastinya bertumpu di sembilan kerusi negeri yang dimenangi tipis oleh parti tunjang Barisan Nasional (BN), Umno dengan majoriti kebanyakannya di bawah 1,000 undi.
Sembilan kerusi marginal Umno itu ialah Lubok Merbau (53 undi), Manjoi (132 undi), Manong (231 undi), Pasir Panjang (304 undi), Selama (610 undi), Rungkup (613 undi), Kamunting (887 undi), Bukit Chandan (959 undi) dan Kubu Gajah (1,085 undi).
Pada 2013, BN mengekalkan penguasaan di Perak dengan menang tipis di 31 daripada 59 kerusi di DUN walaupun Pakatan Rakyat, yang kini sudah bubar diganti Pakatan Harapan (PH), meraih 55% undi popular.
Pakatan juga mempunyai dua kerusi marginal iaitu Kuala Sepetang (PKR) dan Changkat Jering (Amanah). PKR menang Kuala Sepetang dengan 758 undi mengalahkan calon BN yang diwakili oleh Gerakan sementara bekas menteri besar Perak Nizar Jamaluddin yang ketika itu bertanding atas tiket PAS mengalahkan calon Umno di Changkat Jering dengan 1,170 undi.
Selain itu, penganalisis melihat parti yang bakal membentuk kerajaan negeri Perak juga akan sangat bergantung pada undi Melayu kerana kebanyakan 31 kerusi yang dimenangi oleh BN – 30 Umno dan 1 MCA – adalah kerusi majoriti Melayu.
Walaupun penganalisis tidak begitu yakin PH boleh mengulangi kejayaan pembangkang seperti pada 2008, pemimpin negeri optimis pertembungan kali ini akan lebih sengit.
“Di kerusi marginal, setiap undi adalah penting maka penting bagi Umno kerjasama dengan PAS. Lebih-lebih lagi kita percaya berlaku tsunami Melayu yang besar,” kata Pengerusi PH Perak Ahmad Faizal Azumu kepada The Malaysian Insight.

Beliau mengakui PH perlu bekerja keras terutamanya di kawasan majoriti Melayu kerana berdepan dengan pecah undi daripada PAS. Beliau bagaimanapun yakin pecah undi PAS itu akan diimbangi oleh pengaruh Bersatu yang akan memecahkan undi Umno kerana sosok bekas pemimpinnya Dr Mahathir Mohamad yang kini mengetuai PH.
Invoke, badan kajian data yang digerakkan oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli meramalkan PH akan memenangi Perak dengan kelebihan lima kerusi – PH 32, BN 27. Menurut kajian Invoke, PAS tidak akan menang satu pun kerusi negeri di Perak.
Selain Invoke, Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Prof Dr Mohammad Redzuan Othman juga merumuskan dapatan yang sama bahawa PAS akan kalah teruk di Perak kerana tiada undi daripada bukan Melayu khususnya Cina.
Pada PRU13, PAS menang tiga kerusi dengan majoriti kurang 2,000 undi iaitu Selinsing (809 undi), Gunung Semanggol (1,405 undi) and Titi Serong (1,794 undi) manakala di Sungai Rapat, parti Islam itu menang dengan majoriti 2,638 undi.
Kenapa PH tidak boleh tawan Perak?
Menurut Redzuan ada dua sebab kenapa PH boleh gagal dalam usahanya mahu mengambil semula Perak daripada BN: persempadanan semula dan populariti Menteri Besar Zambry Abdul Kadir.
“Sekiranya SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) meneruskan persempadanan semula, ia memberi kelebihan buat BN. Manakala Zambry popular dalam kalangan Melayu. Dia adalah sebab BN menang di Perak pada 2013,” katanya.
SPR pada Jumaat lepas mengumumkan sudah selesai melaksanakan kajian semula persempadanan semula kawasan Parlimen dan DUN di Semenanjung Malaysia dan sudah juga menyerahkan laporannya kepada Perdana Menteri Najib Razak. Cadangan persempadanan semula itu dijangka akan dibawa ke Parlimen seawal-awalnya minggu ini.

Penganalisis politik Hisommudin Bakar bersetuju bahawa Zambry popular kerana pendekatannya yang merakyat namun PH tidak harus mengetepikan begitu saja pengaruh PAS.
“Tidak boleh pandang rendah kepada kekuatan PAS khususnya di utara Perak. Mereka mungkin tidak cukup undi untuk menang tetapi mereka akan pecahkan undi pembangkang,” katanya.
Pada masa sama, Faizal mengakui Bersatu di Perak juga berdepan dengan masalah dalaman dan publisiti buruk media selepas beberapa ahli parti membantah pelantikannya sebagai ketua Bersatu negeri.
Tsunami Melayu di Perak
Namun Faizal yakin PH akan kekal pengaruhnya di kerusi bandar dan kerusi campuran serta akan dapat pula menembusi kerusi majoriti Melayu dan kerusi luar bandar yang dipegang oleh Umno.
“Sesiapa pun yang mahu membentuk kerajaan negeri perlu memberi tumpuan kepada kawasan Melayu di sepanjang Sungai Perak: dari Gerik, Lenggong, Padang Rengas, Kuala Kangsar turun ke Pasir Salak dan Teluk Intan.
“Ini kawasan pertempuran. Kita sasar untuk majoriti yang kukuh tetapi realitinya sesiapa saja yang menang, saya rasa hanya kemenangan tipis untuk Perak,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Amanah Perak Asmuni Alwi berkata PH akan menang sekiranya berjaya mendapatkan 35% sokongan pengundi Melayu.
“Kita bukan hendak banyak sangat undi orang Melayu, kira-kira 35% seluruh negeri sudah cukup. Jika kita dapat undi itu, maka kita boleh menang.
“Kita curi pengundi Umno dengan pengaruh Bersatu. PAS akan dapat undi teras. Penyokong PAS juga sudah pecah dua. Sekarang ini kita sudah pada peringkat jejak pengundi secara sentuhan peribadi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sementara itu, Penasihat DAP Perak Ngeh Koo Ham yakin PH akan menang kerana peratusan undi yang meningkat selain isu-isu nasional yang mencengkam rakyat seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST).
“Pada 2008, Pakatan Rakyat dapat 52% (undi keseluruhan) BN dapat 47% dan selebihnya undi rosak. Pada 2013, Pakatan Rakyat dapat lebih undi lagi, 55% manakala BN 44%.
“Ikut kajian kami, Melayu sudah muak dengan Umno kerana rasuah dan pelbagai skandal. Mereka hendak tukar kerajaan. Kos sara hidup juga jadi punca,” katanya. – 12 Mac, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan