SEORANG pegawai polis wanita yang tular dalam beberapa klip video termasuk menghina anggota bawahan ditahan, awal pagi tadi.
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan dalam satu kenyataan berkata pegawai berusia 35 tahun itu ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk dirakam percakapan berhubung dua kertas siasatan dibuka ke atasnya.
Turut dirampas adalah telefon bimbit wanita itu bagi membantu siasatan.
“Suspek akan diberi jaminan sebaik sahaja kertas siasatan lengkap berikutan ada beberapa lagi laporan yang dibuat terhadap suspek sama,” katanya.
Katanya, pegawai itu disiasat atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan menggunakan perkataan kurang sopan, aib atau menghina.
Kes disiasat bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Dalam video tular yang lain, pegawai tersebut dirakam sedang menjerit terhadpa seorang wanita lain dalam pertengkaran di sebuah kuil
Pegawai wanita itu turut dirakam sedang bertengkar dengan orang awam di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Brickfields.
Suspek mendakwa perakam video itu menjerit terhadapnya dan memanggilnya malas di mana dia hanya mahu memakirkan keretanya. – 18 Jun, 2023.
Komen