
BERSATU akan menurunkan calon baru di kawasan pedalaman MIC di Tapah, Perak untuk menewaskan timbalan menteri selama dua penggal di situ.
Bersatu, parti terbaru dalam Pakatan Harapan (PH), akan meletakkan pakar strategi utama parti Rais Hussin, yang dijangka bertanding menentang Timbalan Menteri Belia dan Sukan M. Saravanan.
Tapah menjadi kerusi tradisional MIC. Parti komponen Barisan Nasional (BN) yang kini mempunyai tiga kerusi Parlimen - Tapah, Hulu Kelang di Selangor dan Segamat di Johor.
Perkembangan ini berlaku selepas dilaporkan ketua Pemuda Bersatu yang berusia 24 tahun, Syed Saddiq Abdul Rahman akan menentang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Razali Ibrahim di kerusi Parlimen Muar.
Menurut sumber daripada Bersatu, Rais, yang berketurunan India-Muslim, sangat ideal untuk menandingi kerusi Tapah, di mana komposisi kaum terdiri daripada pengundi Melayu dan sebahagiannya kaum India.
Tapah mempunyai 45,000 pengundi Melayu dengan jumlah 47%, diikuti oleh Cina (32%) dan India (20%). Terdapat juga 1% penduduk Orang Asli di kerusi separa luar bandar.
“Beliau merupakan calon ideal untuk bertanding di sana. Kami mengkaji sebelum ini dan akan ada peralihan dari Tapah yang menjadi kerusi MIC,” kata sumber kepada The Malaysian Insight dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
Rais, bekas ahli perniagaan, juga kelahiran Perak dan rapat dengan kerajaan BN-Perak sebelum menyertai Bersatu.
“Sebelum menyertai Bersatu, beliau sudah turun ke bawah di kawasan itu,” kata sumber itu.
Rais tidak mengesahkan atau menafikan beliau akan bertanding di Tapah dan memulangkan kepada parti sebarang keputusan mengenainya.
“Saya sudah menyatakan hasrat saya, biarkan parti membuat keputusan. Mereka tahu apa yang terbaik untuk saya dan di mana saya perlu diletakkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Saravanan memenangi Tapah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dalam pertarungan empat penjuru yang melibatkan PKR, Berjasa dan calon bebas.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC (CWC) itu mengalahkan calon PKR K Vasanta Kumar dengan majoriti 7,927 undi.
Bagaimanapun, kemenangan itu dicemari kontroversi selepas pembantu Vasanta, K Murugan hilang selama beberapa hari dan mayatnya dijumpai terapung di lombong pada hari mengundi.
Dilaporkan Vasanta membuat beberapa laporan polis semasa tempoh kempen, mendakwa ada ancaman ganas dibuat terhadapnya dan pembantunya.
Sementara itu, Rais bertanggungjawab ke atas beberapa projek telekomunikasi di bawah kerajaan negeri, termasuk membangun Wifi percuma dan membina loji solar.
Beliau juga merupakan penasihat kepada Menteri Besar Perak, Zambry Abdul Kadir berhubung perkara sosio-ekonomi.
Selepas menyertai Bersatu, Rais ditugas menghasilkan manifesto PH untuk PRU14.
Rais dan Syed Saddiq akan bertanding dalam pilihan raya umum pertama mereka. – 24 Mac, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan