RUU kawal produk rokok wajib lulus, kata ahli Parlimen Kuching


Kementerian Kesihatandijadual membentangkan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 12 Jun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun 2023.

RANG Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bersama peruntukan Generasi Penamat (GEG) mesti dilulus dan dilaksanakan untuk melindungi generasi akan datang, kata Dr Kelvin Yii.

Ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata pembentangan RUU tersebut amat penting sebagai usaha mencegah ketagihan sepanjang hayat dan penyakit kronik, demi kesejahteraan jangka panjang rakyat.

Kementerian Kesihatan (KKM) dijadual membentangkan RUU berkenaan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama pada 12 Jun ini.

RUU ini bagaimanapun dibantah beberapa ahli Parlimen atas alasan ia merampas hak asasi rakyat dan lebih bersifat menghukum. Malah pengkritik juga berpandangan RUU tersebut lebih bersifat sebagai ‘hukuman berat’ kepada generasi GEG.

Pendapat itu disanggah Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa awal minggu ini, berkata RUU berkenaan lebih komprehensif, serta meliputi bukan sahaja rokok konvensional tetapi juga rokok alaf baharu termasuk elektronik dan rokok combustible (bahan mudah terbakar).

Tambah beliau, RUU ini masih mengekalkan peruntukan dasar GEG, manakala perubahannya adalah pada cohort generasi yang lahir pada 1 Januari 2007 dan ke atas, katanya seperti dilaporkan Bernama.

Dr Zaliha berkata pihaknya telah banyak membuat pindaan dan turut mengambil kira syor yang diterima daripada perbahasan serta jawatankuasa pilihan khas Parlimen pada sesi lalu, antaranya mengurangkan denda daripada RM5,000 kepada RM500 dan memperkenalkan khidmat masyarakat sebagai cara untuk mendidik serta meningkatkan kesedaran.

Dibawah RUU ini, generasi GEG dilarang membeli sebarang produk tembakau, bahan penghisap, produk tembakau pengganti atau peranti merokok. – 10 Jun 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen