PBAKL 2023, OKU dan Mandiri


Mohd Fudzail Mohd Nor

PBAKL hanya untuk penulis dan pengkarya normal, bukan OKU. Itu pendapat setelah 40 tahun PBAKL diadakan dan mengutamakan keuntungan dari reruai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2023.

INILAH kali kedua saya menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sebagai swaterbit mandiri. Ada yang terlalu bergantung pada PBAKL dan terlalu berharap orang ramai yang dalam 1.5 orang pengunjung akan datang membeli.

Saya tidak mahu komen apa-apa hanya untuk menyedarkan diri sendiri yang Ruang Mandiri adalah ruang untuk penulis persendirian yang terbit buku sendiri, pembikin zine, illustrator, dan pengusaha buku foto.

Telah disediakan 30 reruai dengan beberapa nilai tambah khusus kepada pempamer mandiri. Antaranya Bicara Mandiri, Jaringan Mandiri, Resensi Buku dan Klinik Mandiri yang disusun oleh pengelola.

Pelbagai pembaharuan diperkenalkan bagi membantu pembikin karya persendirian terutama potensi memperluaskan jaringan dalam industri perbukuan negara yang memerlukan lebih ramai bersaing.

Pempamer dibantu melalui ‘Sesi Jaringan Mandiri’ yang tidak pernah dibuat sebelum ini untuk menemukan pempamer dengan editor, pereka grafik dan illustrator bebas.

Bagi saya sesi ini penting kerana kebanyakan penerbit swaterbit bergerak sendiri, maka mereka tidak mempunyai jaringan meluas terhadap penggiat buku yang lain.

Saya seorang OKU empat tahun lepas kerana angin ahmar dan lupa 100% siapa saya. Sebelum terkena angin ahmar saya telah menulis 25 buah buku dan setelah angin ahmar 15 buah buku lagi, tidak termasuk 30 buah buku dengan penulis lain.

Selama 18 tahun di Arab Saudi dan UAE, saya telah pergi ke 61 buah negara di dunia dan 41 buah negeri di USA untuk mencari pengalaman. Saya juga sempat ke pesta buku di Frankfurt, Jakarta, London, Paris, Kaherah, Sharjah dan lain-lain.

Saya tidak ingin membandingkan PBAKL dengan mana-mana pesta buku walaupun ada kemudahan untuk OKU. Saya harap tahun depan PBAKL lebih prihatin kepada OKU dan orang sakit – sekurang-kurangnya adakan reruai khas untuk OKU mempamerkan buku dan karya.

Buat pertama kali di harapkan OKU yang seramai 15% dari warganegara, minoriti terbesar dapat berkreatif tentang kecacatan yang dialami. Ramai OKU yang terpelajar dan dihormati memerlukan sedikit tujuan PBAKL untuk memberi peluang, mungkin sebagai penulis swaterbit dan mandiri seperti saya.

PBAKL hanya untuk penulis dan pengkarya normal, bukan OKU. Itu pendapat setelah 40 tahun PBAKL diadakan dan mengutamakan keuntungan dari reruai.

Rasanya mandiri tiada masalah untuk tidak bergantung kepada PBAKL kerana tidak menghasilkan pengeluaran besaran untuk pasaran. Mandiri lebih mengutamakan pasaran bersasar untuk beroperasi secara niche. Ramai mandiri fokus pada satu genre tetapi saya ke arah pasaran lebih luas.

Saya menulis cerpen yang memenangi 5 Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan 11 Hadiah Sastera Kumpulan Utusan serta Hadiah Novel Berita Harian, puluhan hadiah yang dimenangi.

Saya terus menulis pengalaman berjalan di seluruh dunia, soal politik, puisi dan rencana yang pernah disiarkan oleh akhbar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, Sinar Harian, Malaysiakini, Malaysian Insight, Dagang News, Babas News dan lain-lain.

Penerbit mandiri turut mencipta era kebangkitan semula dalam dunia buku secara tersendiri. Gerakan mandiri memberi ruang kepada penulis-penulis baharu, muda atau tua, yang sukar mendapat tempat di penerbit buku ternama.

Konsep dan tema penulisan mandiri yang lebih lasak dan bertahan mendapat sambutan menggalakkan oleh peminat buku. Ada pihak yang kurang senang dengan mandiri tetapi tidak dapat disangkal berjaya membina empayar sambil merancakkan industri penerbitan buku yang lemah.

Topik penulis dan penerbit buku mandiri adalah antara golongan yang paling tahan lasak dalam menghadapi cabaran. Bukan seperti industri hiburan, apabila ekonomi merosot dilanda pandemik ramai merintih supaya kerajaan membantu artis yang dianggap telah berbakti menghiburkan rakyat.

Namun golongan mandiri nampak cool menelan pahit meskipun ini pekerjaan sepenuh masa dan sumber pendapatan. Mandiri tidak cakap banyak dengan kepayahan motivasi untuk terus menulis dan menerbit.

Saya menulis dan menerbit kerana minat yang terserlah sejak puluhan tahun walau nasib tidak baik seperti PBAKL 2023. Apalagi buku-buku tidak laris, laku dan menimbun di kedai atau rumah.

Reruai mandiri diletakkan tersorok di ceruk dewan terlindung kerana reruai penerbit gergasi dengan buku agama bertimbun sehingga pengunjung pun tidak perasan. Ini terpaksa ditelan tanpa suara.

Mungkin dengan kesabaran dan ketabahan sebagai mata pencarian. Timbul idea buku-buku Rahmah?

Mungkin PRN tidak lama lagi akan ada pembelian menteri dan ahli politik untuk buku Rahmah. Tetapi  PMX suka membaca buku dan berikan bajet tetapi tidak untuk mandiri untuk usahawan mandiri yang gigih.

Bagi saya tiada masalah untuk mandiri melakukan beberapa perubahan yang sesuai, walaupun sesebuah penerbit membuat pasaran terbuka. Mandiri  boleh bertahan walau tanpa pesta buku seperti  PBAKL.

Mandiri perlukan fokus, sasaran dan beberapa tajuk yang sesuai. Saya tidak menerbit dan menjual buku kerana untung semata-mata. Saya ingin berkongsi apa yang saya lalui dan alami dalam kehidupan biar berbentuk fiksyen tetapi menjurus kenyataan. Lebih kepada nilai dan mutu kepada manusia.

Sejak dari awal dengan membina sebuah penerbitan yang tidak bergantung kepada jualan di PBAKL. Saya sebagai mandiri memerlukan paradigma,  strategi yang baik untuk menampung potensi kehilangan jualan di PBAKL seperti tahun ini.

Pada tahun lalu jualan 10 buah buku karya saya cukup memberangsangkan kerana lokasi mandiri di aras dua dengan ramai pengunjung. Tahun ini di aras tiga yang agak tersorok dan ke belakang.

Penjual mandiri memerlukan kaedah efektif untuk menguasai pasaran dan pembaca tanpa jualan di PBAKL. Bukan mudah, ia memerlukan jaringan media sosial seperti TikTok dan Facebook.

Mandiri mampu untuk bertahan tanpa jualan PBAKL atau di kedai-kedai buku.

Ramai mandiri yang masih aktif dan mampu menjual buku di media sosial, diharap sokong dan belilah buku penerbit mandiri yang tidak berputus asa.  

Di Laman Mandiri, penggiat berkesempatan untuk bersilaratul rahim, berkumpul sesama penulis, pelukis, pembaca, dan penerbit buku pelbagai aliran, bertukar-tukar fikiran dan berhibur sesama sendiri.

Ramai yang komplen tidak ramai pengunjung dan menyalahkan tempat yang terselindung, itu perkara biasa.

Untuk merungut sesuatu yang ada benarnya dan terpulang pada pihak penganjur untuk mendengar, tidak pasti ada post-mortem atau tidak.

Di pentas yang disediakan ada program pelancaran, perbincangan, dan bedah buku. Pastinya mampu menambah rakan baharu dengan minat yang sama iaitu buku.

Memang menyeronokkan dan mengujakan untuk yang datang dari pelusuk tanah air bukan hanya di Kuala Lumpur.

Begitupun ada ramai lagi yang gemar membaca buku fizikal di era digital dan TikTok. Dengan rombongan sekolah dari dalam dan luar Lembah Klang turut memeriahkan walau tidak membeli secara borong.

Kita harus memahami yang industri buku mengalami graf naik-turun mengikut musim. Ada mengalami zaman keemasan dan era kemuraman dan kemerosotan yang berkait rapat dengan faktor ekonomi.

Rasanya sekarang selepas hari raya dan masuk sekolah, ekonomi tidak berapa segar. Pembaca dan pembeli buku mengambil sikap berhati-hati berbelanja. Dengan pasaran yang bebas di antara keperluan hidup dengan minat membaca yang mekar memerlukan pengorbanan.

Untuk membeli buku terpaksa membeli yang betul-betul minat dan teruja bukan hanya membeli yang borong dan murah-murah. Ramai ada saku yang makin nipis membuatkan peminat buku terpaksa menelan air liur melihat buku idaman.

Bukan sahaja buku yang mahu dimiliki tetapi harus berkompromi dengan berbagai keperluan lain yang lebih mendesak. Tidak hanya pakaian, kereta, atau kemewahan namun makan minum, sewa rumah, bil elektrik dan itu ini.

Sehingga tahun depan, harap ada untuk OKU dan tempat strategik untuk penerbit mandiri! – 10 Jun, 2023.

* Mohd Fudzail Mohd Nor pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan lebih 31 buah judul buku dan pemenang lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia,11 Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Novel Berita Harian, Hadiah Cerpen Selangor, Terengganu, Johor dan lain . Dia kini menjadi OKU setelah diserang angin ahmar serta pengarah e-Dompet Nigeria dan penerbitan sendiri.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen