PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya mengubah pendirian mereka mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) yang penuh skandal dan kontroversi selepas menjadi kerajaan, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Tanpa menyebut sebarang nama, ahli Parlimen Muar itu berkata pemimpin dalam kerajaan kini sebaliknya harus mengotakan apa yang dikata dengan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam projek itu dan memastikan mereka dibawa ke muka pengadilan tanpa sebarang perlindungan.
“Sebelum ini, tindakan diambil pada tahun lepas. Kemudian disebut mereka hanyalah ‘ikan kecil’.
“Mereka yang berkata itu kini berada dalam kerajaan. Sekarang anda dalam kerajaan, (pastikan) ambil tindakan. Tiada sebab untuk berselindung,” kata presiden Muda itu di lobi Parlimen semasa sidang media.
Syed Saddiq berkata, isu LCS tidak seharusnya dijadikan “umpan” semata-mata untuk tujuan pilihan raya dan kemudian diabaikan.
“Jangan sampai rakyat rasa isu LCS dipolitikkan hanya untuk tujuan pilihan raya dan selepas pilihan raya (jangan anggap) orang tidak ambil peduli lagi,” katanya.
“Ini melibatkan wang rakyat, ia melibatkan keselamatan rakyat, dan ini melibatkan kedaulatan rakyat.
“Jika negara lain melihat keadaan pertahanan negara kita, bagaimana kita hendak menjawab apabila tiada integriti?
“Akhirnya, rakyat menderita. Berbilion dibazirkan tetapi tiada siapa akhirnya dibawa ke muka pengadilan dan kita biarkan perkara itu berterusan seperti biasa. Ia tidak sepatutnya begini,” tambah Syed Saddiq.
Bekas menteri belia dan sukan itu turut menegur kerajaan kerana bersetuju menaikkan kos projek itu walaupun tiada kapal dihantar sehingga kini.
“Sejak kontrak itu ditandatangani pada 2011 dan sehingga kini, tiada satu kapal pun siap.
“Tambahan pula, RM6 bilion wang rakyat dibelanjakan dan kini kosnya dinaikkan kepada RM11 bilion tetapi jumlah kapal dikurangkan daripada enam kepada lima,” katanya.
Pada Ogos 2022, sebagai ketua pembangkang, Anwar menggesa Putrajaya menghentikan baki projek yang melibatkan projek LCS tentera laut, yang disebutnya sebagai “skandal terbesar” semasa perkhidmatannya.
Ketika memegang jawatan perdana menteri berikutan pembentukan kerajaan perpaduan, Anwar pada Mac tahun ini berkata siasatan terhadap projek LCS perlu diteruskan dan pendakwaan sebelum ini tidak mencukupi kerana ia tidak melibatkan punca utama di sebalik kegagalan projek itu.
Protes jalanan “Mana Kapal LCS” turut diadakan pada Ogos 2022. Beberapa ahli politik yang kini berkhidmat dalam kerajaan perpaduan turut mengambil bahagian dalam bantahan itu, antaranya ialah Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.
Sebelum ini turut dilaporkan bekas pengarah urusan Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) Ahmad Ramli Mohd Nor didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah berjumlah RM21 juta berhubung skandal projek LCS.
Bekas panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berusia 78 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.
Ramli dalam kapasitinya sebagai pengarah urusan Bousted Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) ketika itu, didakwa meluluskan pembayaran sebanyak RM13,541,140; RM1,360,716; dan RM6,182,295 kepada tiga syarikat Singapura tanpa kelulusan lembaga pengarah BNS.
Awal hari ini, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menolak usul tergempar untuk membahaskan projek LCS yang kontroversi. – 8 Jun, 2023.
Komen