Ada apa pada nama


Hishamuddin Rais

ISU kalimah Allah membakar perasaan kaum, bangsa dan agama. Terbukti amat senang dinaikkan suhunya. Para politikus, Ustaz YouTube, pendakwah segala bentuk, NGO segala macam – senang mengambil kesempatan untuk mencari pengaruh dalam suhu yang panas.

Suhu panas membawa suasana tegang. Cuaca tegang mewujudkan peluang dan kesempatan. Masing-masing ada tujuan.

Politikus mengembang nama untuk meraih undi dan kedudukan. Ustaz YouTube sambil berlabun sambil menayangkan akaun bank. Manakala aktivis NGO untuk dilihat berpengaruh untuk terus melamar dana.

Ada juga yang menumpang semangkuk untuk membuktikan keislaman mereka juga tebal dan pantang dicabar.

Semua ada kepentingan dalam isu kalimah Allah.

Hakikatnya dalam konteks budaya politik Malaysia, semua ini dipasak oleh kuasa. Di belakang kuasa ini ada ringgit dan dinar. Jelas, ekonomi adalah jurumudi semua ini.

Isu kalimah Allah terus menjadi peluru untuk menembak musuh politik dan mengembang pengaruh.

Ketika saya menggarap tulisan ini isu kalimah Allah ini telah reda. Dalam keredaan ini saya membawa pencerahan dengan menimbulkan beberapa perkara yang wajib diketahui oleh Bani Melayu.

Perkara ini tercegat berdiri – pergi tersepak pulang terlanda. Tapi perkara ini bukan macam telur hilang di pasaran – satu negara heboh. Perkara yang hendak saya utarakan ini tidak dihebohkan. Malah tidak pernah dibincangkan.

Mukadimah saya mengenai nama Allah maka pastilah perkara yang saya timbulkan di sini juga bersangkutan dengan perkara yang sama. 

Saya berpendapat  kalimah Allah ini menjadi kontroversi hanya dalam kalangan Bani Melayu. Kontroversi ini hanya berlaku dalam kalangan Bani Melayu di Semenanjung. Bani Melayu di Sumatera, di Jawa atau di Sulawesi – semua tidak ambil pot.

Malah di bumi Arab – negara  asal usul  Allah –  tidak pernah terjadi kontroversi seperti yang telah, yang sedang dan yang akan berlaku di Semenanjung Malaysia.

Allah asal usul nama tuhan Arab. Justeru, Arab Islam, Arab Kristian dan Arab Ateis sedang menggunakan kalimah ini dalam Masjid, dalam Gereja atau dalam buku dan majalah. Termasuk dalam perbualan harian mereka.

Arab Islam tidak pernah mendakwa Allah ini hanya tuhan mereka sehingga menafikan hak Arab yang lain. Arab Islam tidak memonopoli kalimah Allah.

Melarang dan menghalang penggunaan satu-satu kalimah atau perkataan atau konsep ini dilihat tidak masuk akal.

Suatu ketika dahulu di Amerika, tempat duduk dalam bas hanya khas monopoli untuk yang berkulit putih sahaja. Atau di Afrika Selatan, kolam mandi ini hanya untuk yang berkulit putih. Monopoli dan eksklusif ini tidak bertahan lama. Akhirnya, semua terbarai.

Apa yang hendak saya timbulkan dalam tulisan ini sikap monopoli dan eksklusif Bani Melayu Semenanjung. Sikap “orang lain semua tak boleh” – hanya Bani Melayu Semenanjung saja yang boleh.

Dengan wujudnya sikap ini maka saya mahu bertanya. Apa akan terjadi kepada Bani Melayu Semenanjung jika ada agama lain daripada Islam, jika ada bangsa lain daripada bani Melayu Semenanjung yang memiliki sikap “eksklusif tamak haloba” terhadap satu kalimah atau satu-satu konsep.

Apa akan terjadi jika penganut agama Hindu di Malaysia pergi ke mahkamah dan meminta mahkamah membuat keputusan untuk melarang Bani Melayu Semenanjung menggunakan kalimah syurga, neraka, bidadari, dosa dan pahala.

Apa agaknya akan terjadi? Amin.

Syurga yang difahami dan dilafazkan oleh Bani Melayu datang dari kalimah Svarga dari bahasa Sanskrit. Konsep dan kalimah ini adalah ganjaran setelah mati. Ganjaran nikmat yang kita terima kerana ketika di dunia kita menjadi sosok yang baik.

Manakala kalimah Naraka dimelayukan menjadi kalimah neraka. Kalimah ini diasosiasikan dengan api yang selalu kita dengar dari Ustaz YouTube. Naraka adalah kalimah Sanskrit dari agama Hindu yang membawa konsep balasan ke atas kita setelah kita mati kerana di atas dunia kita gagal berbuat baik.

Manakala dosa membawa konsep kebencian. Dalam konteks Islam, dosa ialah perbuatan yang melanggar hukum agama.

Pahala dalam bahasa Sanskrit ertinya buah. Ini adalah ganjaran apabila kita melakukan kebaikan. Kita diberi “buah” oleh Allah.

Dalam syurga inderaloka kita bukan hanya diberi buah oleh Allah – kita juga akan dapat bidadari.

Kalimah bidadari asal Sanskrit ialah dewanagari, memberi makna penyampai atau penghubung antara manusia dengan dewa. Kita Melayukan menjadi bidadari. Konsep Hindu ini ditambah pula dengan konsep Arab yang membawa konsep anak dara jelita untuk kita tiduri dalam syurga.

Apa akan terjadi sekiranya penganut agama Hindu melarang Bani Melayu Semenanjung menggunakan kalimah dosa, pahala, syurga dan neraka?

Mereka melarang kerana dalam hujah mereka penggunaan kalimah ini oleh yang bukan Hindu akan menggugat dan mengancam akidah Hindu mereka. Mereka jadi keliru. Kalimah ini tidak diketahui mana benar yang mana palsu.

Mereka juga mahu agar makna dan konsep kalimah asal itu tidak dicampur aduk. Dewanagari sebagai penyampai antara manusia dengan dewa bukan anak dara untuk ditiduri.

Apa akan terjadi jika penganut agama Hindu melarang Bani Melayu Semenanjung menggunakan kalimah  bidadari? Mustahil konsep kalimah bidadari ini boleh diganti dengan Minah Cun atau Pretty Lady mengikut kata Psy penyanyi Gangnam Style.

Perlu juga diberitahu konsep dan kalimah agama itu sendiri berasal usul dari Sanskrit. Agama bererti tradisi. Gama bermaksud pergi menuju.

Hu la la apa akan terjadi apabila kalimah agama dimonopoli dan dieksklusifkan penganut Hindu? Apa kalimah yang akan Bani Melayu Semenanjung guna pakai untuk menggantikan perkataan agama? Amin.

Amin dalam tulisan ini adalah Amen yang juga berasal dari bahasa Hebrew. Kalimah Amen ini membawa makna sahih dan benar.

Pencerahan asal usul kalimah ini seharusnya menyedarkan Bani Melayu Semenanjung dalam upacara kepercayaan agama yang mereka pakai telah ada pelbagai pengaruh melintas masuk.

Kalimah dan konsep ini membawa makna agama ini bukan satu yang baru untuk Bani Melayu. Agama ini telah wujud sebelum sampainya peniaga Arab “yang tunggang tonggek” mengikut Sejarah Melayu di Kota Melaka.

Sebelum peniaga Arab sampai, Bani Melayu ada Dewata Mulia Raya. Ini nama tuhan asal Bani Melayu Semenanjung.

Wujudnya Tuhan Melayu bernama Dewata Mulia Raya dibuktikan dengan Batu Bersurat Terengganu yang ditemui pada tahun 1887. Batu Bersurat ini berumur 700 tahun.

Sila baca penampang depan Batu Bersurat ini.

Rasulullah dengan yang arwah santabi mereka

Asa pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan Agama Islam.

Dengan benar bicara derma mereka bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya.

Di Benuaku ini penentu agama Rasulullah sallallahi wassalama raja.

Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya di dalam

Bumi penentuan itu fardhu pada sekalian Raja Manda

Lika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar.

Bicara berbajiki benua penentuan itu maka titah Seri Paduka.

Tuhan menduduki Tamra ini di Benua Terengganu adi pertama ada.

Jumaat di bulan Rajab di tahun saratan disasanakala.

Baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua

Jelas, Bani Melayu 700 tahun dahulu tidak memiliki sikap monopoli atau eksklusif. Perjanjian dalam Batu Bersurat Terengganu itu membuktikan sikap Bani Melayu yang terbuka dan selesa  menerima Tuhan Arab.

Batu Bersurat ini menjadi bahan bukti konsep syurga, neraka, pahala, bidadari wujud sebelum Tuhan Arab sampai yang dibawa oleh peniaga Islam dari Arab atau dari India ke Melaka.

Bani Melayu Semenanjung jangan lupa dari mana asal usul kita. Lembah Bujang dengan candi adalah bukti Bani Melayu Semenanjung suatu ketika dulu ada agama dan ada Tuhan sendiri. Bukan Shiva, bukan Rajnesh, tapi Dewata Mulia Raya.

Bani Melayu 700 tahun dahulu menganut agama Hindu yang dibawa dari Bharat.

Bharat? Apa itu Bharat? Di mana Bharat?

Bharat itu ialah nama asal benua India. Dari Bharat ini wujud konsep penunjuk arah dalam Bahasa Melayu – timur, barat, utara, selatan.

Apa yang hendak diterangkan di sini ialah kalimah dan bahasa hidup bergerak. Ia memiliki nafas dan nyawa sendiri. Tidak ada hukum hakam yang boleh mengawal penyebaran kalimah dan konsep.

Alam semesta ini adalah milik anak semua bangsa. Kalimah pengucapan itu adalah milik anak semua negara. Amin. – 1 Jun, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen