Rafizi nafi PKR tawar PAS sertai kerajaan perpaduan


Rafizi menegaskan tidak mengetahui soal tawaran tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2023.

TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli menafikan dakwaan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkait PKR ada menawarkan parti Islam itu untuk menyertai kerajaan perpaduan.

Sebaliknya, Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan berkata tidak tahu bagaimana dakwaan itu timbul sedangkan beliau terlibat secara langsung dalam pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.

“Saya tak pernah dengar (dakwaan PAS ditawarkan masuk kerajaan perpaduan) (sedangkan) saya adalah antara tiga individu dalam PKR yang banyak merundingkan pembentukan kerajaan perpaduan selain (Presiden PKR) Anwar Ibrahim dan (Setiausaha Agung PKR) Saifuddin Nasution Ismail.

“Saya tidak tahu ini cerita zaman bila tapi saya boleh bagi tahu, sepanjang saya terlibat dalam pembentukan kerajaan perpaduan, saya tidak tahu langsung tentang perkara ini (tawaran), kecualilah ada sesiapa yang lain (yang buat tawaran),” katanya kepada pemberita di Iskandar Puteri, hari ini.

Rafizi yang juga menteri ekonomi berkata demikian selepas menghadiri sesi libat urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025 di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, hari ini.

Semalam, Hadi dipetik sebagai berkata pernah dihubungi beberapa kali oleh ‘orang tertentu’ yang didakwa menawarkan PAS menyertai kerajaan perpaduan. – Bernama, 28 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen